Anda di sini

Bentuk pasukan baharu Ngap Sayot

Advertisement
 Pemain-pemain memanaskan badan pada sesi ujian hari pertama pemilihan pemain-pemain Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.
UJIAN: Pemain-pemain memanaskan badan pada sesi ujian hari pertama pemilihan pemain-pemain Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.

KUCHING: Penasihat Pasukan Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamed memberi tempoh sehingga awal bulan Januari depan untuk membentuk pasukan baharu Ngap Sayot bagi menghadapi kempen Liga Premier 2019.

Menurutnya, Sarawak tidak perlu tergesa-gesa kerana tarikh akhir pendaftaran pemain pada pertengahan Februari depan sambil menegaskan pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada untuk mencari pemain-pemain yang benar-benar berkualiti.

Menjelas lanjut, beliau berkata sesi pemilihan mendapat sambutan menggalakkan dengan seramai 42 pemain dari seluruh bahagian negeri turun mencuba nasib.

“Ada ramai lagi akan turun mencuba nasib sehingga hari terakhir pada 26 November ini.

“Kebanyakan mereka datang dari pelbagai kelab seluruh bahagian negeri,” katanya ketika ditemui pada hari pertama sesi pemilihan pemain-pemain Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan mendapatkan khidmat beberapa pemain import bagi menguatkan cabaran Sarawak pada musim depan.

Menurutnya, ketika ini beberapa pemain yang beraksi bersama pasukan Persipon (Pontianak) berada dalam radar pihaknya.

Menyentuh jelajah pasukan, Awang Mahyan berkata dua gergasi Liga Super, JDT dan Perak menjadi pilihan beliau sebagai pentas untuk memanaskan badan.

“Jika dipersetujui FAS, kita bercadang untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang JDT dan Perak di sana,” katanya.

Pada sesi pemilihan semalam dikendalikan Ketua Jurulatih, Pengiran Bala sambil dibantu Mohd Safri Amit, Mohamad Denny Da’ail dan Edward Jamid Unting.

  • oleh
  • Advertisement