Anda di sini

Belajar renang guna kolam hotel tidak praktikal di Sarawak:Manyin

Advertisement
Manyin ketika ditemubual wakil media selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Kecemerlangan Inovasi Pelajar di sini, hari ini.
Manyin ketika ditemubual wakil media selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Kecemerlangan Inovasi Pelajar di sini, hari ini.

KUCHING: Cadangan Kementerian Pendidikan untuk membenarkan pelajar menggunakan kolam renang di hotel bagi menjalani aktiviti renang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel tidak praktikal  dilaksanakan di Sarawak.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan, Dato Sri Michael Manyin Jawong ketika ditemui pemberita selepas majlis penghargaan kecemerlangan inovasi pelajar di Pustaka Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau memberitahu, Sarawak mempunyai 1,457 sekolah dan kebanyakkannya terletak di pedalaman yang jauh dari bandar.

"Apa yang kita maklum ia tidak mungkin untuk dilaksanakan kerana kita tidak mempunyai banyak hotel yang ada kolam renang termasuk kolam renang awam di negeri ini.

"Malah, kita mempunyai 1,457 sekolah dan kebanyakkannya berada di pedalaman, jadi bagaimana pihak sekolah hendak melakukan perkara ini?," soalnya.

Tegas Manyin lagi, pihak hotel juga tidak akan membenarkan orang bukan tetamu mereka menggunakan kolam renang di hotel berkenaan.

Tambahnya, jika pelajar dibenarkan menggunakan kolam renang di hotel, ia memberi keadaan yang tidak selesa kepada tetamu hotel berkenaan.

"Justeru, cadangan ini tidak praktikal untuk dilaksanakan ketika ini di Sarawak," katanya.

Selain itu ujarnya, walaupun ia di bawah CSR, faktor keselamatan pelajar ketika menjalankan aktiviti renang juga harus dititikberatkan.

"Siapa yang akan menjadi pemantau keselamatan (lifeguard) ketika pelajar ini menjalankan aktiviti renang di kolam nanti, adakah pihak sekolah atau pihak hotel," tegasnya lagi.

Pada sama sama beliau memberitahu, jarak sekolah luar bandar juga menjadi faktor dan pastinya akan memerlukan kos perbelanjaan untuk melaksanakan aktiviti tersebut.

Sementara itu, sembilan buah sekolah rendah dan menengah yang menang pada Pertandingan Inovatif Peringkat Nasional telah menerima anugerah penghargaan masing-masing.

Antara sekolah yang menang adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tung Hua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, Sekolah Tunku Putra, SMK Lutong, Lodge International School, Sekolah Kebangsaan (SK) Temang, SMK Bandar Kuching Nombor Satu, SJKC Chung Hua Nombor Satu, SMK Lutong, SMK Tun Abdul Razak dan SMK Jalan Arang.
 

  • oleh
  • Advertisement