Anda di sini

Rezeki Taufiq di Mentor 7 setakat ‘battle’ pertama

Advertisement
MENTOR & PROTEGE
MENTOR & PROTEGE

KONSERT Battle Mentor 7 yang pertama telahpun bersiaran secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Ahad lepas.

Kesemua lapan protege telah membuat persembahan dengan bersungguh-sungguh walaupun mereka digemparkan dengan kehadiran juri tetap, Mas Idayu.

Protege Aizat Amdan, Pasya telah muncul sebagai persembahan protege terbaik. Namun, perjalanan protege Siti Nordiana, Taufiq terhenti setakat malam itu sahaja apabila diumumkan tersingkir oleh juri tetap, Datuk Wah Idris.

Ianya mengejutkan kesemua penonton Mentor 7 kerana ini adalah kali pertama adanya penyingkiran pada konsert battle pertama program realiti berkenaan.

Perbezaan peratusan markah Taufiq dengan rakan seperjuangannya, Amal (protege Hafiz Suip) yang juga yang tercorot cuma satu peratus sahaja iaitu Amal telah mendahului Taufiq dengan 39 peratus berbanding Taufiq hanya meraih 38 peratus secara keseluruhannya.

Menurut Mentor kepada Taufiq, Siti Nordiana, “Sejujurnya kami memang tidak menyangka adanya penyingkiran pada minggu ini kerana ia masih awal lagi untuk menyingkirkan protege. Walau bagaimanapun, dengan berat hati saya terpaksa akur dengan keputusan juri tetap dan anggap rezeki Taufiq hanyalah setakat ini sahaja.

SITI NORDIANA & TAUFIQ
SITI NORDIANA & TAUFIQ

“Sebagai seorang yang pernah menyertai program realiti seperti ini, saya amat memahami perasaan Taufiq. Namun, saya percaya Taufiq mampu untuk pergi lebih jauh kerana dia mempunyai pakej lengkap. Tambahan pula, saya tidak akan memutuskan hubungan saya dengan Taufiq dan akan tetap memberikan tunjuk ajar kepadanya sehingga Taufiq berjaya satu masa nanti. Insya Allah,” kata Siti Nordiana.

Pada Konsert Battle pertama malam itu, Taufiq menyanyikan lagu ‘Fantasia Musim Cinta’, Amal (‘Bukan Cinta Biasa’) manakala Pasya (‘Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta’).

Seorang lagi protege Siti Nordiana iaitu Zaaim menyanyikan lagu ‘Dirantai Digelangi Rindu’, Megat protege Aizat (‘Ku Mohon’), Azmirul protege Hafiz (‘Syair Si Pari Pari’) manakala dua protege Datuk Syafinaz iaitu Lazarul dan Ranisha masing-masing menyanyikan ‘Izinkanku Pergi’ dan ‘Teruskanlah’.

Selain itu, para penonton turut dihiburkan dengan persembahan protege uji bakat pilihan, Alif dengan lagu medleynya, ‘Amalina’, ‘Bobo Di Mana’, dan ‘Kembali Terjalin’ serta persembahan penutup yang disampaikan oleh Ayda Jebat dengan lagu ‘Tiada Lagi’ sebelum pengumuman penyingkiran protege.

Sistem penjurian Mentor 7 merangkumi 50 peratus daripada  juri tetap (Mas Idayu dan Datuk Wah Idris), 30 peratus daripada undian atas talian (melalui laman web www.xtra.com.my/mentor7) dan 20 peratus  daripada 10 orang juri awam yang terdiri daripada penggiat seni tanah air seperti pengacara, pelakon, dan wakil media.

 Datuk Wah Idris dan Mas Idayu (kanan).
JURI TETAP: Datuk Wah Idris dan Mas Idayu (kanan).

Pautan undian atas talian akan dibuka selama 10 minit pada setiap penghujung Konsert Mingguan Mentor 7, setelah kesemua persembahan protege berakhir. Protege yang mempunyai markah terendah di akhir konsert mingguan, mungkin akan tersingkir.

Dihoskan oleh Shuk Sahar dan Nana Mahazan serta Sarancak sebagai hos belakang pentas, Mentor 7 menampilkan Datuk Syafinaz, Hafiz Suip, Aizat Amdan, dan Siti Nordiana sebagai mentor.

Program ini turut diterajui oleh Muhamad Sufian Che Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Aeizul Reeza Ismail selaku Penerbit Mentor 7.

Bersiaran selama sepuluh (10) episod bermula 28 Oktober lalu hingga 30 Disember 2018, Mentor 7 bersiaran secara langsung pada setiap hari Ahad, 9.00 malam dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Selain itu, Mentor 7 turut menyediakan Jurnal Mentor yang memaparkan kisah belakang tabir persediaan-persediaan para protege bersama mentor mereka setiap hari Ahad, jam 6.00 petang. Siaran ulangan Konsert Mingguan Mentor 7 juga disiarkan pada setiap hari Jumaat, jam 9.30 pagi.

Saksikan Konsert Mingguan Mentor 7 pada setiap Ahad, 9 malam bagi menyokong protege pilihan anda. Saksikan juga Mentor 7 secara strim langsung di www.xtra.com.my dan saluran Youtube TV3 Malaysia.

Advertisement