Anda di sini

Mati dihempap motosikal

Advertisement
 Orang ramai membantu polis mengangkat motosikal yang ditunggang mangsa dari dalam parit tersebut.
ANGKAT: Orang ramai membantu polis mengangkat motosikal yang ditunggang mangsa dari dalam parit tersebut.

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan keadaan dihempap motosikal di dalam parit di Jalan Demak Laut, di sini semalam.

Difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Hamdani berusia 28 tahun, keluar dari kuarters pekerja yang didiami untuk membeli rokok sekitar jam 3 pagi dengan meminjam motosikal milik pengawal keselamatan.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak pulang selepas itu sehingga mayatnya ditemui orang awam di dalam parit tersebut sekitar jam 8 pagi.

"Hasil temu bual rakan sekerja mangsa, mendapati mangsa meminjam motosikal seorang pengawal keselamatan kilang berhampiran setelah selesai majlis makan malam yang diadakan di tempat kerjanya.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan dihempap motosikalnya.
MAUT:Mayat mangsa ditemui dalam keadaan dihempap motosikalnya.

"Dipercayai motosikal yang ditunggang mangsa telah terbabas ke bahu jalan sehingga mangsa tercampak ke dalam parit dan kemudian dihempap motosikal tersebut.

"Mangsa yang turut mengalami kecederaan di kepala dipercayai tercucuk batang konkrit saiz kecil di benteng parit tersebut disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak," kata sumber.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut kes masih dijalankan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Alexson turut mengesahkan seorang lelaki meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Jalan Lundu-Biawak sekitar jam 8.30 malam kelmarin (Isnin).

Menurutnya, mangsa dikenali Lim Han Lieh berusia 36 tahun dan berasal dari Kampung Bagak, Lundu.

"Siasatan awal mendapati MPV yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan merempuh dinding rumah tersebut.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dikejarkan ke Hospital Lundu, namun disahkan meninggal dunia," katanya.

Siasatan polis telah dijalankan di tempat kejadian dan MPV yang dipandu mangsa juga disita untuk pemeriksaan PUSPAKOM.

Kedua-dua kes kemalangan maut tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • oleh
  • Advertisement