Anda di sini

Polis Evo 2 Berpaksi nusantara, berwajah antarabangsa

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Mendominasi sebagai pengeluar filem tempatan paling aktif sepanjang tahun 2018, Astro Shaw melabuhkan tirai tahun ini dengan sebuah filem mega Polis Evo 2 (PE2) yang akan menemui penonton pada 22 November.

Filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew adalah hasil kerjasama SCM dan Blackflag Productions Sdn Bhd.

Sekitar empat tahun lalu, Polis Evo menduduki tangga teratas bagi kutipan filem tertinggi 2015 selepas berjaya mencatat sebanyak RM18 juta.

Filem yang banyak diperkatakan oleh segenap lapisan penonton telah menerbitkan keterujuaan penerbit dalam menghasilkan kesinambungan kisah dua anggota polis ini.

Untuk PE2, gandingan duo ‘polis popular’ yang tidak asing lagi Shaheizy Sam dan Zizan Razak akan bersama pelakon popular dari Indonesia Raline Shah sebagai teraju utama dalam menyelesaikan kes jenayah berprofil tinggi.

Lebih gempak, lebih impak dan lebih aksi; itu yang dapat dirumuskan mengenai PE2. Berdasarkan kes jenayah besar yang dilaksanakan oleh Inspektor Sani dan Inspektor Khai, mengetuai misi keselamatan negara apabila sebuah pulau telah ditawan oleh pelampau ajaran sesat.

Cabaran besar ini harus dilaksanakan dengan teliti apabila melibatkan lebih 200 tebusan penduduk di kepulauan itu. Di sini dapat dilihat bagaimana anggota penguatkuasa menjalankan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara.

PE2 telah menjalani penggambaran selama 85 hari di Kampung Serandu, Pekan, Pahang; Gua Gelanggi, Pahang; Gebeng, Pahang; Pulau Mantanani, Sabah; Klang, Selangor; Polis Marin Pelabuhan Klang, Selangor; Kuala Lumpur dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pastinya naskah yang diberikan buat tatapan penonton kali ini lebih hebat, jika dilihat dari senarai para pelakon, ia menghimpunkan pelakon-pelakon dari tiga buah negara yang cukup menimbulkan keterujaan.

Malaysia terdiri daripada Shafiq Naswip, Erra Fazira, Riz Azmin, Soffi Jikan, Hairul Azreen, Dennis Yin, Hairie Othman, Rusdi Ramli dan pelakon Singapura menampilkan Hasnul Rahmat, Jeff Catz dan Fir Rahman. Manakala pelakon Indonesia dibintangi oleh Raline Shah, Mike Lucock dan Tanta Ginting.

Sudah pasti PE2 kali ini bakal menggembara ke bukan sahaja di Malaysia malah bakal terbang ke Singapura, Brunei dan Indonesia untuk ditayangkan buat penonton di sana.

Bagi Penerbit Eksekutif, Dato’ Khairul Anwar Salleh merangkap Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, mengharapkan PE2 akan meletuskan fenomena buat peminat-peminat filem aksi di Malaysia seterusnya menjadi antara kutipan filem tertinggi di Malaysia.

“Kami di Astro Shaw telah melakar satu demi satu kejayaan dalam kutipan filem bermula ‘DUKUN’ sehingga ‘Paskal The Movie’, diharap filem ini menjadi penutup yang terbaik buat kami dan terus menjadi pemangkin untuk menghasilkan filem bermutu bukan sahaja memenuhi citarasa penonton di Malaysia malah di seluruh nusantara yang boleh memahami bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar,” kata beliau.

Ulasnya lagi, dengan keberhasilan filem yang bermutu, ia akan merancakkan lagi persaingan yang sihat dikalangan penerbit dan penambahkan filem cereka dipasaran dan membuka pasaran yang lebih luas di negara-negara lain untuk ditayangkan.

Untuk PE2 kali ini, ia telah mendapat sokongan penuh penaja mereka terdiri daripada Rakan Jenama Rasmi BHP, Dashing, New Balance, dan Isuzu. Syarikat Penerbangan Rasmi, Air Asia serta Penaja Rasmi Hari Hari.

Sesi jelajah PE2 akan bermula sejurus filem ini menemui penonton di pawagam.

Sesi bertemu peminat ini akan dimulakan pada 23, 24 & 25 November di Kedah, Penang dan Perak.

Manakala di sebelah selatan merangkumi Singapura, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 29, 30 November, 1 & 2 Disember.

Seterusnya, di Pahang dan Terengganu pada 7, 8 & 9 Disember di mana para pelakon turun bertemu peminat bertuah di Hotel Grand Darul Makmur.

PE2 boleh ditonton di lebih 144 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.

Untuk keterangan lanjut ikuti media sosial Astro Shaw di twitter, Instagram dan Facebook untuk sebarang hebahan.

Advertisement