Anda di sini

Lim Shiow Hong gigih usahakan nurseri orkid

Advertisement
 Lim (tengah) berdiri di hadapan Big Leaf Nurseri di Jalan Bario, Lutong.
BANGGA: Lim (tengah) berdiri di hadapan Big Leaf Nurseri di Jalan Bario, Lutong.

MENANAM orkid sebenarnya tidak susah, namun ia mengambil masa yang lama  dan penjagaan rapi sebelum mengeluarkan bunga.

Beberapa tahun dulu menanam orkid merupakan hobi bagi mengisi waktu lapang namun kini penanam boleh menjual orkid tersebut untuk menambah sumber pendapatan.

Pemilik Big Leaf Nursery Lim Shiow Hong, 46, berkata, proses yang paling sukar ialah menanam orkid daripada biji benih kerana ia memerlukan kepakaran dan pengalaman.

Pada mulanya Lim menanam orkid jenis dendrobiums dan orkid liar, namun ia menemui kegagalan kerana tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman.

Namun ia tidak melemahkan semangat Lim untuk mencuba spesies lain sehinggalah menemui spesies Phalaenopsis.

Terletak di Jalan Bario, Lutong Baru, Big Leaf Nursery menyediakan ribuan orkid Phalaenopsis, termasuk yang sudah mengeluarkan kelopak bunga dan pokok matang yang menunggu masa mengeluarkan kelopak bunga.

Lim percaya, Big Leaf Nursery merupakan satu-satunya nurseri orkid di Sarawak yang organik, tidak menggunakan racun serangga atau racun kulat.

Meminati orkid sejak berusia 12 tahun, Lim hanya menanam orkid spesies Phalaenopsis, kerana ia paling banyak permintaan dalam pasaran, sifat yang tahan lama, proses penjagaan yang mudah berbanding spesies lain dan serasi dengan suhu iklim tropika.

Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam penanaman orkid, beliau kini sudah arif mengenai penanaman Phalaenopsis malah dia boleh menentukan masa orkid itu berbunga mengikut musim puncak.

“Dalam tempoh tersebut, saya pernah melalui lebih 20 kali kegagalan. Malah, ibu saya menganggap saya gila kerana berhenti kerja untuk fokus menanam orkid,” kata Lim ketika ditemui Utusan Borneo di Big Leaf Nurseri baru-baru ini.

PENANAMAN ORKID PHALAENOPSIS

Tidak seperti pekebun orkid di tempat lain seperti Taiwan yang menggunakan rumah hijau, orkid Phalaenopsis di sini ditanam di kawasan terbuka yang ditutup menggunakan jaring hitam.

Lim berkata, Big Leaf Nursery adalah idea yang tercetus hasil lawatan beberapa kali ke Taiwan.

Di Taiwan misalnya, nilai ekports orkid ke luar negara mencecah jutaan ringgit tidak termasuk keuntungan yang dijana melalui kedatangan pelancong untuk melawat kebun-kebun orkid di sana.

“Di sana, mereka menggunakan teknologi rumah hijau. Kelebihan rumah hijau ialah pekebun dapat mengawal suhu dan meniru persekitaran semula jadi orkid seperti di hutan rimba.

“Paling penting bagi saya, rumah hijau dapat mengurangkan penggunaan racun serangga dan ini sekali gus dapat mengurangkan kerugian kerana tanaman mati diserang kulat dan penyakit,” katanya.

Penggunaan rumah hijau juga membolehkan pekebun orkid menggunakan aplikasi digital dan komputer dalam mengawal tanaman dan penjagaan orkid.

 Lim memeriksa bekalan orkid yang sudah berbunga dan disimpan dalam bilik berhawa dingin untuk perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina akan datang.
MEKAR: Lim memeriksa bekalan orkid yang sudah berbunga dan disimpan dalam bilik berhawa dingin untuk perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina akan datang.

Namun kerana kekangan modal, Lim meniru konsep penanaman orkid di sana mengikut kemampuan dan kesesuaian faktor cuaca di sini.

Lim menggunakan sepenuhnya kawasan tanah seluas setengah ekar di Lutong dengan menyediakan tempat terbuka yang dapat memuatkan kira-kira 2,000 anak orkid.

Selain itu, beliau membina tujuh buah bilik berhawa dingin 24 jam setiap hari untuk membolehkan orkid mengeluarkan kelopak bunga.

“Bagi memastikan orkid itu membesar dan menghasilkan bunga yang berkualiti, suhu pada waktu malam ditetapkan antara 16-19 darjah celcius dan dinaikkan pada waktu siang,” kata Lim.

Katanya, setiap bilik berhawa dingin mampu memuatkan kira-kira 400 hingga 1,000 pokok orkid pada satu masa.

Kesemua orkid yang ditanam menggunakan anak orkid secara individual yang diimport dari Taiwan.

“Saya hanya fokus dengan membeli anak-anak orkid berdasarkan spesies yang sudah diketahui dan mempunyai pasaran. Anda akan dapat berdasarkan apa yang dipesan, namun jika membeli benih anda tidak tahu apa jenis bunga,” kata Lim lagi.

Katanya, anak orkid yang tiba di Miri kemudian ditanam dalam pasu baharu yang berisi lumut Spaghnum kemudian diletakkan di ruangan terbuka.

“Orkid memerlukan pencahayaan dan keperluaan bergantung dengan jenis orkid. Sebagai contoh, jenis Phalaenopsis memerlukan cahaya matahari hanya 50 peratus untuk hidup dengan subur.

 

“Justeru saya menggunakan jaring hitam kerana ia mempunyai ketelusan cahaya pada kadar itu,” katanya.

Tempoh ini memerlukan penjagaan rapi untuk memastikan orkid tersebut bebas daripada penyakit. Beliau hanya menggunakan baja organik selain melakukan penjagaan rutin seperti penyiraman yang teratur dan menyediakan persekitaran yang sihat.

Lim menambah, tempoh orkid Phalaenopsis mengeluarkan kelopak juga bergantung dengan peringkat pertumbuhan anak orkid. Bagi peringkat satu, spesies ini boleh mengeluarkan kelopak dalam tempoh enam bulan manakala peringkat dua 10 bulan.

“Dengan melihat kematangan urat, saya boleh menjangka hari orkid itu mengeluarkan kelopak atau mengawal waktu orkid matang mengeluarkan kelopak.

“Berdasarkan suhu di Miri, orkid Phalaenopsis mengambil masa kira-kira 10 bulan untuk matang dan berbunga,” katanya.

PASARAN ORKID

Pengalaman bekerja dalam bahagian pemasaran di beberapa syarikat sebelum membuka nurseri banyak memberi kelebihan kepada Lim untuk memasarkan orkid.

Beliau percaya, orkid mempunyai margin keuntungan yang lebih besar jika dibandingkan dengan pekebun tanaman lain.

Satu daripada faktor Phalaenopsis begitu laris di pasaran ialah kelopak bunga mampu bertahan sehingga enam bulan jika disimpan di bilik berhawa dingin manakala tiga bulan dalam suhu bilik. Bahagian kelopak bunga yang sudah kering perlu dipotong untuk membolehkan orkid itu berbunga semula.

 Pekerja Big Leaf Nursery sedang mengisi anak orkid dalam pasu yang baharu.
TANAM: Pekerja Big Leaf Nursery sedang mengisi anak orkid dalam pasu yang baharu.

Lim menambah, media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp banyak membantu dalam mempromosikan jualan orkid.

Sebagai contoh, kemudahan ‘Share My Location’ di WhatsApp memudahkan Lim memberi lokasi Big Leaf Nursery kepada pelanggan berpotensi untuk mencari nurseri tersebut dengan mudah.

Selain itu, Facebook menyediakan maklumat penting mengenai nurseri, gambar orkid, testimoni pelanggan selain ruang komen yang memberikan kebebasan kepada pelanggan untuk bertanya apa sahaja soalan berkaitan sebelum pembelian.

“Permintaan bunga orkid meningkat pada musim perayaan iaitu Tahun Baharu Cina, Krismas dan Hari Raya. Lazimnya untuk musim perayaan, saya membuat persediaan setahun lebih awal untuk memastikan orkid berbunga pada masa tersebut.

“Sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari 2019 misalnya, saya sudah menyediakan kira-kira 1,000 orkid yang disimpan dalam bilik berhawa dingin,” katanya.

Menurut Lim, selain perayaan ada pelanggan yang membeli orkid Phalaenopsis untuk perhiasan pejabat dan majlis keramaian.

Katanya, sepokok orkid tersebut dijual dengan harga bermula RM65 bergantung dengan saiz pokok dan kelopak bunga.

Katanya, kebanyakan pembeli adalah dari Miri dan Sibu selain Sabah.

CABARAN PEKEBUN ORKID

Bagi Lim, cabaran utama pekebun kecil khususnya di bandar ialah kesukaran mendapatkan tanah yang besar selain kos membina rumah hijau yang mahal.

Namun bagi pekebun yang mempunyai sumber kewangan kukuh, mereka boleh menyewa sebidang tanah dan membina rumah hijau.

“Tanah yang tidak mencukupi menyebabkan pekebun kecil seperti saya sukar untuk berkembang maju. Stok yang ada hanya berupaya memenuhi pasaran tempatan.

“Selain itu, kekurangan pasaran di luar Miri menyebabkan jualan orkid bergantung dengan musim perayaan,” kata Lim sambil menambah 60 peratus keuntungan adalah hasil jualan semasa Tahun Baharu Cina.

Sekiranya pekebun kecil mempunyai tanah yang luas dan teknologi rumah hijau, Lim yakin mereka dapat menanam orkid dalam skala yang lebih besar sekali gus menggandakan pengeluaran dan hasil jualan.

Katanya, kos membina rumah hijau untuk keluasan 20 x 100 kaki yang dilengkapi dengan aplikasi digital dianggarkan mencecah RM150 ribu hingga RM200 ribu.

Beliau mencadangkan agar kerajaan memberikan kelonggaran kepada pekebun-pekebun kecil seperti bebas cukai agar mereka dapat membeli sendiri peralatan rumah hijau dari luar negara.

“Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan pekebun-pekebun sama ada komersial atau kegunaan sendiri bercucuk tanam menggunakan rumah hijau,” katanya sambil menambah konsep pertanian moden kini harus diperluas bukan hanya tertumpu untuk produk sayur-sayuran dan buah-buahan.

Lim juga berharap kerajaan dapat menyediakan subsidi atau bantuan baja kepada pekebun bunga untuk membantu pekebun kecil menjimatkan kos.

Sebelum ini beliau pernah meminta bantuan baja daripada Jabatan Pertanian namun dimaklumkan mereka hanya memberikan baja sayur-sayuran.

“Pekebun kecil seperti kami tidak mempunyai modal yang besar untuk melabur dalam teknologi canggih. Untuk memastikan perusahaan menanam orkid terus mampan, kerajaan negeri harus membantu termasuk menyediakan subsidi dan akses kepada pasaran luar.

“Dengan cara ini, kita dapat menggalakkan penanaman orkid secara komersial dalam kalangan masyarakat tempatan. Jika tidak, lama-kelamaan pekebun kecil akan hilang minat dan ini sudah tentu merugikan salah satu bidang pertanian yang berpotensi tinggi dalam pasaran,” kata Lim.

  • oleh
  • Advertisement