Anda di sini

Tiga agensi pembangunan bakal percepat pembangunan SCORE

Advertisement
 Abang Johari (empat kiri) bersama tetamu kenamaan yang lain memotong kek ulang tahun ke-10 SCORE. Turut kelihatan Ismawi (dua kiri). — Gambar Chimon Upon
SELAMAT ULANG TAHUN: Abang Johari (empat kiri) bersama tetamu kenamaan yang lain memotong kek ulang tahun ke-10 SCORE. Turut kelihatan Ismawi (dua kiri). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Penubuhan tiga agensi pembangunan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) pasti akan mempercepatkan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Tiga agensi pembangunan tersebut ialah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HAD) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni berkata, tiga agensi pembangunan tersebut merupakan inisiatif baharu kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Inisiatif baharu ini menyediakan dorongan dan fokus kepada RECODA dalam membangunkan kawasan yang luas di bawah SCORE.

“Saya yakin rakyat di tiga kawasan ini akan mengingatkan beliau (Abang Johari) kerana agensi pembangunan ini pasti akan mempercepatkan kemajuan sosioekonomi dan fizikal di kawasan ini.

“Bagi tujuan tersebut, kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan besar untuk melaksanakan projek infrastruktur asas termasuk program sosioekonomi di kawasan ini.

“Dengan adanya infrastruktur asas dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, RECODA berupaya untuk menarik dan membawa lebih banyak pelaburan ke kawasan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 SCORE di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tambah Ismawi, susulan peranan yang semakin luas, RECODA kini sedang menjalankan penstrukturan semula dan akan mengambil lebih ramai individu  untuk menyertainya.

Penstrukturan semula tersebut katanya, adalah bertepatan dengan bebanan kerja dan cabaran yang dihadapi menerusi penubuhan URDA, HAD dan NRDA dan tugas-tugas yang diberikan kepada RECODA.

“RECODA akan terus menjalankan tugas dalam cara yang profesional untuk menarik lebih banyak pelaburan ke SCORE bukan sahaja di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) tetapi juga Hab Halal Tanjung Manis, Taman Sains Mukah, Taman Perindustrian Matadeng dan semua kawasan di bawah tiga agensi pembangunan,” kata Ismawi.

Dalam pada itu sambutan ulang tahun ke-10 SCORE bermula dengan aktiviti ‘Big Bike Riding’ bersama Ketua Menteri yang juga Pengerusi RECODA pada 27 Oktober lepas diikuti Kejohanan Golf Korporat RECODA pada 3 November.

Advertisement