Anda di sini

Masa depan belia cerah

Advertisement
 Abang Johari (tengah) serta kenamaan lain ketika bersama belia pada Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 di Sibu, semalam.
PEWARIS KITA: Abang Johari (tengah) serta kenamaan lain ketika bersama belia pada Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 di Sibu, semalam.

SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin belia Sarawak mempunyai masa depan yang cerah atas inisiatif dan usaha kerajaan negeri yang giat membangunkan sektor teknologi dan digital.

Beliau berkata, belia bertaraf digital amat diperlukan untuk terus membangunkan negeri ini pada masa akan datang, sekali gus berdaya saing dan kreatif.

“Kesungguhan komitmen kerajaan negeri memperkasakan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam ekonomi digital diyakini akan memberi masa depan yang cerah kepada golongan belia Sarawak.

“Itu sebab kerajaan pimpinan saya hari ini sentiasa memfokuskan pembangunan teknologi khususnya dalam ekonomi digital,” ujarnya berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu, semalam.

Hadir sama Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw dan kenamaan lain.

Abang Johari berkata, masa depan Sarawak akan ditentukan oleh bagaimana cara belianya pada hari ini.

Dengan kerajaan negeri mengiktiraf peranan belia dengan menggesa dan menyarankan penggunaan teknologi juga, jelasnya, turut menentukan bagaimana belia boleh menjadi tonggak serta tunjang kepada kepimpinan negeri pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri akan memastikan seluruh Sarawak akan menikmati Internet berkelajuan tinggi sebagai pelaburan masa depan negeri ini.

“Hanya teknologi sahaja boleh memastikan kita terus maju ke hadapan, sekali gus dapat bersaing dalam dunia global yang kompetitif,” tegasnya.

Beliau berkata, dengan memanfaatkan penggunaan teknologi, ia sudah tentu akan menambah nilai kepada sumber manusia Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkasakan dan mengiktiraf golongan belia.

Jelasnya, kerajaan negeri akan tampil dengan lebih banyak pendekatan serta program-program untuk pembangunan belia di negeri ini pada masa akan datang.

Beliau yakin belia Sarawak mempunyai bakat dan kreativiti tersendiri dari sudut teknologi yang memberi impak besar kepada negeri ini.

“Kita mahu belia yang cergas dan cerdas dari segi minda dan pemikirannya. Pada majlis ini, saya lihat belia Sarawak begitu aktif dan berpotensi menjadi pewaris kepada pemimpin sedia ada untuk membawa negeri ini ke arah pembangunan, kemajuan dan ekonomi yang lebih kompetitif dalam dunia global,” jelasnya.

Bagi memperkasakan lagi golongan belia sebagai aset masa depan negeri dan negara ini, beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus membangunkan institusi-institusi pengajian tinggi di negeri ini.

“Kita mahu pengetahuan serta sektor pendidikan di negeri kita ini relevan untuk masa depan,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement