Anda di sini

Ceramah kesihatan mengenai rabies dianjurkan di Belaga

Advertisement
 Judy menyampaikan ucapan di hadapan komuniti yang hadir pada ceramah berkaitan rabies.
PENERANGAN: Judy menyampaikan ucapan di hadapan komuniti yang hadir pada ceramah berkaitan rabies.

KOMUNITI di daerah Belaga telah menghadiri ceramah berkaitan penyakit rabies atau anjing gila di Dewan Uma Bakah, Long Koyan, Belaga, baru-baru ini bagi berkongsi maklumat dan pendedahan lanjut berkenaan penyakit tersebut.

Beberapa penerangan dan ceramah disampaikan mengenai penyakit dan virus tersebut yang boleh membunuh sekiranya terkena pada manusia dan tidak dirawat dengan segera.

Pegawai Penerangan Bahagian Kapit Judy Henry Anchangan berkata, satu ketika dahulu pada tahun 1990-an permasalahan berkaitan penyakit itu belum berlaku di negeri ini dan maklumat berkaitan dengannya banyak dipelajari dan diperolehi dalam buku teks sekolah sahaja.

“Tetapi hari ini, penyakit itu wujud dan telah berlaku sehingga membawa bencana serta masalah kepada komuniti kerana virus itu boleh membunuh,” ujarnya berucap sempena Program Merdeka@Komuniti di Dewan Uma Bakah Long Koyan Belaga, baru-baru ini.

Justeru katanya, Jabatan Penerangan dengan kerjasama Maufakat Komuniti Malaysia (MKM) telah mengambil tindakan untuk menganjur program seumpamanya bagi menerangkan masalah tersebut kepada orang ramai di kawasan Kapit, Belaga dan Song.

Jelasnya, lokasi pertama penganjuran program itu adalah di Kapit dan seterusnya diperluaskan di Belaga.

Dalam pada itu Pegawai Kesihatan Klinik Sungai Asap Belaga Dr Johan Jitos berkata, orang ramai perlu waspada dan mengelak dari mendekati anjing semasa sedang berjalan atau menjauhi binatang itu supaya tidak terkena gigitan.

Beliau berkata, sekiranya seseorang itu terkena gigitan anjing maka hendaklah mencuci luka gigitan tersebut dengan sabun dan air yang mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit sebelum pergi ke klinik untuk mendapat rawatan lanjut.

Hadir sama dalam program itu Pegawai Penerangan Daerah Belaga Luhat Lihan, Pemanca Tonny Kulleh, Palan Bisau, Pengerusi MKM Sg Asap/Koyan Belaga Lawing Luat, Pengerusi MKM Pekan Belaga Awang Halim, Pengerusi MKM Kejaman Neh Belaga Uket Lusat dan yang lain.

Advertisement