Anda di sini

Tanjung Malim akan jadi bandar belia Komanwel

Advertisement
 Aminuddin (dua kanan) menurunkan tanda tangan pada Majlis Perasmian Bandar Belia Komanwel Daerah Tanjung Malim di Dewan Majlis Daerah Tanjung Malim dekat Tanjung Malim, semalam. Turut sama Orang Besar Jajahan Muallim Datuk Ir Safry Kamal Ahmad (kanan). — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Aminuddin (dua kanan) menurunkan tanda tangan pada Majlis Perasmian Bandar Belia Komanwel Daerah Tanjung Malim di Dewan Majlis Daerah Tanjung Malim dekat Tanjung Malim, semalam. Turut sama Orang Besar Jajahan Muallim Datuk Ir Safry Kamal Ahmad (kanan). — Gambar Bernama

TANJUNG MALIM: Tanjung Malim akan dibangunkan sebagai bandar belia Komanwel pertama di dunia tidak lama lagi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Behrang Aminuddin Zulkipli.

Beliau berkata sebidang tanah seluas sembilan hektar telah dikenalpasti bagi membina ibu pejabat bagi Majlis Pemuda Komanwel dan Rangkaian Belia Komanwel yang akan dimulakan dua tahun lagi dan kini proses pengambilan tanah sedang dilakukan.

“Ibu pejabat rasmi itu akan menyediakan ruang kerja untuk organisasi antarabangsa, pejabat maya untuk modal teroka Komanwel dan pelabur, kemudahan untuk bengkel dan aktiviti belia serta makmal untuk memanfaatkan kreativiti dan inovasi,” katanya.

Aminuddin yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak memberitahu pemberita selepas melancarkan  bandar belia Komanwel di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), di sini semalam.

Majlis pelancaran disaksikan oleh wakil belia dari United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Rusia, Pakistan, Malta, Fiji, Kepulauan Solomon, Australia, India, Ghana dan Bahrain.

Aminuddin berkata bandar belia Komanwel akan memanfaatkan infrastruktur awam yang sedia ada, kemudahan dan kerjasama dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan masyarakat awam.

“Bandar ini akan mempunyai sistem teknologi tinggi seperti blockchain, analisis data yang besar serta ciri-ciri futuristik yang lain,” katanya.

Bandar beliau Komanwel akan merangkumi hab inovasi, hotel perniagaan, suite SOHO dan rumah mampu milik untuk memberi peluang kepada para belia  membangunkan diri mereka dalam bidang pekerjaan dan keusahawanan serta pemupukan kemahiran vokasional di kalangan belia.

Sementara itu, Aminudin dalam ucapan perasmiannya berkata bandar belia Komanwel akan menggabungkan kedua-dua kemajuan dalam teknologi digital dan pemikiran baru dalam konsep hubungan masyarakat, kemampanan alam sekitar, demokrasi penyertaan, tadbir urus dan ketelusan.

Beliau menambah inisiatif  bandar belia  ini juga  akan dibangunkan di beberapa negara Komanwel dan bukan Komanwel untuk mewujudkan rangkaian bandar-bandar pemuda yang akan dikenali sebagai Komuniti Bandar Belia.

“Kami ingin melihat komuniti bandar belia ini akan meningkatkan integrasi antara negara anggota Komanwel dan bukan Komanwel, membolehkan mereka  saling berhubungan dari segi sosial, ekonomi, alam sekitar dan politik,” katanya.

Dengan mengubah bandar yang kurang maju kepada bandar yang moden, dinamik dan inklusif, bandar belia Komanwel ini bertujuan mengurangkan kadar penghijrahan belia dari kawasan luar bandar ke bandar-bandar besar, meningkatkan taraf hidup dan pembangunan di kawasan separuh bandar dan dengan itu menjadikan kawasan itu sebuah hab untuk belia.

Projek berwawasan ini diumumkan oleh Putera Charles of  Wales semasa Sidang Kemuncak Pemuda Komanwel pada November 2017, disokong oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Pusat Inovasi Pemuda Komanwel dan majlis pemuda tempatan di Malaysia. — Bernama

Advertisement