Anda di sini

SCORE dijangka jana RM334 bilion menjelang 2030

Advertisement
Taib membincangkan sesuatu dengan Abang Johari (dua kiri) ketua melawat pameran SCORE di BCCK malam tadi. Turut kelihatan Uggah (kiri), AwangTengah (dua kanan) dan Ismawi (kanan).Gambar Chimon Upon
Taib bertukar idea dengan Abang Johari (dua kiri) ketika melawat pameran SCORE di BCCK, malam tadi. Turut kelihatan Uggah (kiri), AwangTengah (dua kanan) dan Ismawi (kanan). - Gambar Chimon Upon

Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Sarawak dijangka menjana RM334 bilion dari segi pelaburan menerusi rancangan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menjelang tahun 2030. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari berkata daripada junlah tersebut, 80 peratus atau RM267 bilion dijangka dari sektor swasta manakala baki RM67 bilion dari sektor awam. 

Apabila Rancangan Pembangunan SCORE direalisasikan sepenuhnya pada 2030, ia juga dijangka mewujudkan 1.6 juta peluang pekerjaaan baru terutama untuk golongan muda Sarawak. 

"Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) kerana ia terbukti efektif dalam usaha perindustrian Sarawak. 

"Sehingga kini, SCORE telah merekodkan lebih RM79.971 bilion pelaburan awam dan swasta dimana RM33.64 bilion atau 42 peratus adalah dari pelaburan swasta. 

"Dalam usaha kita untuk menarik lebih banyak industri ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP) serta mengubah Bintulu menjadi hab petro kimia di rantau ini, kita akan terus menyokong pertumbuhan industri sedia ada di SIP. 

"Kami juga menggalakkan penubuhan lebih banyak industri petro kimia yang dapat menggunakan gas asli sebagai bahan mentah bukan sahaja di Bintulu tetapi juga di Lawas. 

"Usaha juga dibuat untuk memastikan SIP akan terus menyediakan perkhidmatan yanh mesra dan effisien kepada pelanggannya," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 SCORE di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi. 

Untuk memperluaskan kawasan SCORE ke bahagian luar bandar dan pedalaman Sarawak, Kerajaan Negeri menubuhkan tiga agensi pembangunan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA). 

Tiga agensi iaitu Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA)  dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) akan mempercepatkan lagi pembangunan infrastruktur fizikal dan kemudahan di tiga kawasan tersebut.


Dengan inisiatif itu, kawasan SCORE kini diperluaskan dari kira-kira 70,000 kilometer persegi kepada kira-kira 100,000 kilometer persegi dan rakyat di tiga kawasan ini akan dapat mengambil peluang perniagan dan pekerjaaan yang wujud. 

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga merupakan perintis kepada rancangan pembangunan SCORE yang dilancarkan pada 11 Februari 2008. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani. 
 

Advertisement