Anda di sini

Ranieri yakin mampu menyelamatkan Fulham

Advertisement
Ranieri
Ranieri

LONDON: Claudio Ranieri kelmarin berkata dia yakin dia dapat mengeluarkan kelab tercorot Fulham dari zon penyingkiran selepas dia mengambil alih tampuk di kelab yang baharu dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris itu pada minggu ini.

Ranieri, pengurus di sebalik kejayaan Leicester yang menakjubkan untuk memenangi kejuaraan liga pada 2016, mengambil alih tampuk dari Slavisa Jokanovic pada Rabu lepas setelah pengurus Serb itu hanya berjaya memperolehi satu kemenangan dalam 12 perlawanan pada musim sulungnya sebagai jurulatih dalam liga utama di England.

Fulham sudah tewas sembilan kali untuk mengutip hanya lima mata sahaja, tetapi Ranieri percaya harapan masih ada bagi pasukan yang dikuatkan oleh kira-kira pembelian bernilai sekitar 100 juta euro (RM480 juta) pada musim panas setelah mereka naik dari liga Kejuaraan pada musim lepas.

“Apabila saya menonton beberapa perlawanan, saya kata pasukan ini mempunyai kualiti yang mencukupi untuk selamat. Saya memerlukan semangat juang,” kata Ranieri kepada pemberita kelmarin.

Ranieri kembali ke England sebagai jurulatih buat pertama kali sejak dia dipecat oleh Leicester pada Februari 2017 selepas kegagalan untuk mempertahankan kejuaraan.

Bagaimanapun Ranieri menolak cakap-cakap bahawa dia akan melakukan satu lagi keajaiban dengan memenangi kejuaraan bersama Fulham. — AFP

Advertisement