Anda di sini

Pusat latihan PASKAL bakal kemudahan terbaik di rantau ini

Advertisement
 Ahmad Kamarulzaman ketika memakaikan beret Ungu kepada 65 penuntut Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 pada majlis penutup dan Upacara Perasmian Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) di Pangkalan TLDM, Lumut, semalam. — Gambar Bernama
MAJLIS PENUTUPAN: Ahmad Kamarulzaman ketika memakaikan beret Ungu kepada 65 penuntut Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 pada majlis penutup dan Upacara Perasmian Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) di Pangkalan TLDM, Lumut, semalam. — Gambar Bernama

LUMUT: Pusat latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang kini siap dibina di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, bakal menjadi kemudahan latihan terbaik pasukan khas itu menghadapi sebarang ancaman keganasan serta ancaman maritim, kata Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Beliau berkata pusat latihan berkenaan yang berkeluasan 4.4 hektar itu dibina melibatkan kos pembinaan sebanyak RM24 juta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Antaranya dilengkapi dengan model pelantar minyak, menara tempur dan hangar payung terjun untuk anggota PASKAL menjalani latihan.

“Selain itu, kesemua kemudahan di tempat latihan PASKAL juga merangkumi aspek-aspek ancaman maritim seperti memiliki kolam tempur dalam bagi membolehkan mereka menjalani simulasi sebenar jika pelantar minyak negara ini ditawan musuh,” katanya selepas merasmilan pusat latihan PASKAL semalam.

Ahmad Kamarulzaman juga berkata pusat latihan berkenaan sekali gus dapat memudahkan anggota gempur PASKAL memantapkan kemahiran mereka terutama tempur jarak dekat di lokasi yang diancam.

Beliau berkata penubuhan pusat latihan PASKAL bakal menjadi institusi latihan yang mampu melahirkan warga PASKAL yang terlatih, kompeten dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.

Pusat latihan PASKAL telah mula dibina pada 14 April 2015 dan ia dirasmikan hari ini, yang turut dilengkapi gimnasium terbuka, gelanggang tinju, gedung senjata dan lapang sasar.

Terdahulu, turut berlangsung adalah majlis penutup kursus asas Komando PASKAL siri 65/18 serta penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada 21 veteran PASKAL.

Dalam majlis penutup kursus itu, seramai 65 penuntut terdiri daripada empat pegawai TLDM, 53 anggota Lain-lain pangkat (LLP) dan seorang LLP tentera laut Bangladesh serta seorang LLP Agensi Penguatkuasaan Maritim serta enam peserta Pasukan Simpanan Sukarela TLDM lulus kursus itu dan dipakaikan beret ungu.

Ahmad Kamarulzaman berkata hanya 65 peserta sahaja yang lulus daripada 246 peserta yang mengambil kursus berkenaan yang dijalankan selama empat bulan.

“Tahniah kepada kesemua mereka ini sungguh luar biasa dan latihan asas komando ini adalah sebagai usaha untuk menambah pasukan khas yang sedia ada dalam tempoh ditetapkan,” katanya. — Bernama

Advertisement