Anda di sini

Pertandingan memasak promosikan keharmonian kaum, pertukaran budaya melalui makanan

Advertisement
Chou menerima cenderamata daripada Tan pada program Pertandingan Memasak Edisi Kelima di Kuching hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Program pertandingan memasak anjuran Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batu Lintang dengan Persatuan Kebajikan Komuniti Taman Hui Sing mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Seramai 30 kumpulan dari kalangan masyarakat di bandar raya Kuching menyertai program yang masuki edisi kelima cawangan itu di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.

Program pertandingan memasak itu dirasmikan oleh Penasihat Parti Rakyat Bersatu (UPP), Dr Chou Chii Ming selaku mewakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang, Dato Sri Wong Soon Koh.

Wong, menerusi teks yang dibaca oleh Dr Chou, mengucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana berjaya menarik ramai penyertaan dari kalangan pelbagai kaum di negeri ini.

"Dari sudut sosial, pertandingan ini sangat berkesan untuk mempromosikan keharmonian kaum dan pertukaran budaya melalui makanan dari pelbagai kaum di negeri ini. 

"Maknanya, program pertandingan memasak anjuran SABERKAS Cawangan Batu Lintang  merupakan acara perkhidmatan masyarakat yang sangat baik," katanya.

Chou (tengah) bersama Tan (enam kanan) dan Lee (enam kiri) merasmikan program Pertandingan Memasak Edisi Kelima di Kuching hari ini. Foto oleh Muhd Rais Sanusi

Justeru, beliau mencadangkan pihak penganjur untuk mengumpul resipi serta gambar masakan yang berjaya memenangi pertandingan ini untuk dibukukan agar dapat dikongsikan dengan ramai orang.

"Malah, saya juga akan menyalurkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) bagi membantu anda (pihak penganjur) dalam menjayakan projek komuniti yang amat bermakna ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi SABERKAS Cawangan Batu Lintang, Kapitan Patrick Tan Peng Chuan berkata, pihaknya merancang untuk memperluaskan program tersebut dalam skala yang lebih besar pada tahun hadapan.

"Memandangkan program hari ini mendapat sambutan menggalakkan, kita akan mengadakannya di sebuah lokasi yang lebih luas supaya lebih ramai orang awam dapat menyertainya. Kita menyasarkan penyertaan sebanyak 40 hingga 50 kumpulan pada tahun depan," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan Komuniti Taman Hui Sing, Lee Tong Kwang dan tetamu-tetamu jemputan lain.

  • oleh
  • Advertisement