Anda di sini

Perak akan hidupkan semula industri bijih timah: EXCO

Advertisement

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menghidupkan kembali industri bijih timah yang dijangka mampu memberi pertambahan pendapatan kepada negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata untuk itu, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat perlombongan bijih timah dari Australia bagi membantu dalam merealisasikan industri perlombongan di negeri ini.

“Syarikat dari Australia itu mempunyai sistem teknologi perlombongan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan teknologi yang mereka gunakan adalah yang terkini serta selamat.

“Oleh itu, apabila industri perlombongan ini kembali aktif, secara tidak langsung industri mineral ini dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini, seterusnya dapat memberi pulangan yang baik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Mengenai Dasar-Dasar Kerajaan Negeri anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), di sini, semalam.

Mohammad Nizar berkata, ketika ini permintaan terhadap bijih timah semakin meningkat dan yakin perlombongan bijih timah adalah sektor menarik untuk diusahakan.

“Harga bijih timah di pasaran ketika ini ialah sekitar RM80,000 setan dan ini sudah tentu menjanjikan pulangan lumayan untuk diusahakan kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai sektor,” katanya. — Bernama

Advertisement