Anda di sini

Pengawal keselamatan maut, seorang lagi kritikal nahas dua motosikal

Advertisement
Gian Singh (gambar kecil) yang cedera parah meninggal dunia di HUS selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Sungai Tengah, Matang, malam tadi.

KUCHING: Seorang pegawal keselamatan maut manakala seorang lagi lelaki kritikal apabila motosikal yang ditunggangi mereka berlanggar dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Kolong Dua, di Jalan Sungai Tengah, Matang di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Gian Singh berusia 59 tahun dari Kampung Sagah di Matang.    

Katanya, seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 41 tahun, dalam kritikal dan dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Pada 17 November sekitar 10 malam, satu kemalangan maut telah berlaku di Kampung Kolong Dua, Jalan Sungai Tengah melibatkan dua motosikal.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan yang mengalami cedera parah di bahagian kepala dan patah kaki sebelah kanan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan HUS pada 1.15 tengah malam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Alexson menjelaskan, punca kemalangan masih belum dapat dikenal pasti dan kes masih dalam siasatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 

  • oleh
  • Advertisement