Anda di sini

Pemeriksaan peringkat awal kanser tanggungjawab bersama

Advertisement
DONALD (dua kanan) menerima cendera kenangan daripada Affah, turut kelihatan ialah Ceasar (kanan) dan Chaw (kiri).
DONALD (dua kanan) menerima cendera kenangan daripada Affah, turut kelihatan ialah Ceasar (kanan) dan Chaw (kiri).

PENAMPANG: Setiap individu dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk mengamalkan gaya hidup sihat agar mampu mengelakkan daripada mempunyai penyakit yang boleh menyusahkan keluarga masing-masing.

Timbalan Presiden Upko Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, setiap penyakit bukan sahaja memberikan kesan terhadap badan tetapi juga mental seseorang.

"Kalau kita sakit kita tidak dapat berbuat apa-apa kerja kecuali rehat sahaja, sekiranya kita menghidapi penyakit kronik pula, keluarga kita juga akan mengalami stress seterusnya mampu menyusahkan mereka.

"Penyakit kronik seperti kanser khususnya kanser payudara dalam kalangan wanita perlu diberikan perhatian.

"Pelbagai langkah perlu dilakukan seperti kempen kesedaran agar wanita-wanita dalam masyarakat kita sedar pentingnya membuat pemeriksaan awal penyakit itu," katanya ketika merasmikan penutupan Program Kesedaran Kanser Payudara anjuran Pergerakan Wanita dan Komulakan Upko Penampang bersama Kinabalu Pink Ribbon, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kanser payudara adalah pembunuh kedua terbesar di dunia dan penyebab kematian utama golongan itu.

Katanya, dalam Malaysia sahaja, sebanyak 3,500 kes kanser payudara dikesan setiap tahun yang membawa maksud satu daripada 20 wanita mempunyai penyakit itu.

"Bagaimanapun, golongan lelaki juga tidak terlepas daripada penyakit ini walaupun dalam peratusan yang rendah.

"Saya menasihatkan semua wanita agar membuat pemeriksaan awal di hospital kita kerana pada hari ini hospital-hospital di sini dilengkapi kemudahan diperlukan.

"Pengesanan awal penyakit itu boleh dirawati berbanding sekiranya ianya sudah mencapai tahap kritikal," katanya.

Sementara itu, Ketua Komulakan Upko Penampang Ceasar Mandela Malakun berkata, pelbagai penyakit kanser sering dikesan dalam komuniti di sini.

Katanya, pihaknya akan memastikan program seumpamanya akan sentiasa dilaksanakan di Penampang dan juga seluruh negeri agar mampu meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa bertapa pentingnya untuk melakukan pemeriksaan awal kanser payudara.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Wanita Upko Penampang  Chaw Pei See dan Pengerusi Penganjur Affah Hasnah Idiam .

  • oleh
  • Advertisement