KUCHING: Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan pekebun getah, lada dan kelapa sawit di Sarawak yang terjejas akibat kejatuhan drastik harga komoditi itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata golongan tani itu perlu terus mengusahakan kebun tanaman mereka meskipun berdepan situasi sukar disebabkan kejatuhan harga komoditi tersebut di pasaran.
Beliau berkata kerajaan akan membantu dengan memberi bantuan baja serta input pertanian yang lain bagi membolehkan petani menyelenggara kebun masing-masing.
"Saya tidak mengatakan ia (bantuan) mencukupi tetapi sekurang-kurangnya meringankan beban ditanggung para pekebun yang terjejas.
"Apabila pendapatan petani luar bandar terjejas, taraf hidup mereka juga akan terjejas," katanya pada tinjauan mesra di Rh. Linggie di Sungai Langit dan dua lagi rumah panjang di Penom di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata kejatuhan harga komoditi disebabkan faktor pasaran dunia, dan beliau berharap kerajaan persekutuan dapat mencari penyelesaian kepada masalah itu segera.
Beliau pada masa sama mencadangkan agar petani mempelbagaikan jenis tanaman.
"Selain menanam kelapa sawit, getah atau lada, petani boleh mempertimbang untuk mengusahakan tanaman lain seperti cili, nanas, pisang dan durian.
"Mereka juga boleh menjana pendapatan dengan menternak haiwan ternakan dan mengusahakan kelulut," katanya.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata kursus-kursus yang sesuai akan dianjurkan kementeriannya untuk aktiviti-aktiviti alternatif tersebut.
"Sebagai contoh, dalam penternakan babi, kita ada kursus inseminasi buatan untuk menghasilkan lebih banyak babi.
"Selain itu terdapat kursus fertigasi dan hidroponik untuk penanaman sayur bagi memastikan kualiti serta kuantiti lebih baik seterusnya menjana lebih banyak pendapatan," jelasnya.
Uggah berkata kerajaan kini aktif menggalak dan mempromosikan teknologi moden dalam usaha meningkatkan pengeluaran produk makanan di Sarawak.
Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa mahukan Sarawak menjadi pengeksport makanan menjelang tahun 2030.
Mengenai tinjauan mesranya, beliau memberitahu hanya memaklumkan Tuai Rumah rumah panjang-rumah panjang dikunjungi pada saat-saat akhir kerana mengelak mereka membuat persiapan besar-besaran untuk menyambut ketibaannya.
"Tinjauan mesra ini hanyalah pemeriksaan peribadi saya ke atas kebajikan rakyat dan bagi mendapat maklum balas dari segi projek-projek yang amat diperlukan dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.
Beliau turut mengucapkan taniah kepada wanita dari ketiga-tiga rumah panjang yang dikunjungi kerana sangat mahir menyulam, projek inisiatif isterinya Datin Amar Doreen.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr. Richard Rapu.