Anda di sini

Millie Bobby ‘Blue’ dahului senarai selebriti dalam video baharu UNICEF

Advertisement
__alt__

BINTANG remaja dari siri drama popular terbitan Netflix ‘Stranger Things’, Millie Bobby Brown, adalah antara barisan selebriti yang mengangkat warna biru untuk sebuah filem UNICEF sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia.

Pelakon berusia 14 tahun itu, orang paling muda yang dimasukkan ke dalam senarai majalah Time bagi 100 tokoh paling berpengaruh di dunia, secara simbolik menukar nama akhirnya daripada Brown kepada Blue – warna agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu – untuk filem tersebut.

“Hari Kanak-kanak Sedunia merupakan hari yang menyeronokkan dengan mesej yang serius,” Brown menyebut dalam satu kenyataan Khamis lepas sebelum hari tindakan global untuk menandakan kelulusan Undang-undang Hak Kanak-kanak pada 20 November 1989.

“Ia adalah hari di mana semua kanak-kanak digalakkan untuk bersuara mengenai perkara yang penting bagi mereka, seperti pendidikan, ruang selamat untuk belajar dan bermain, serta persekitaran positif.

“Dengan mengangkat biru untuk UNICEF pada hari ini, kami menuntut agar dunia menyediakan masa depan yang lebih cerah untuk kanak-kanak.”

Remaja British itu sudah dua kali dicalonkan untuk anugerah Emmy bagi wataknya dalam ‘Stranger Things’, yang menceritakan tentang kes seorang budak lelaki bernama Will yang hilang di sebuah bandar kecil di Indiana pada tahun 1980an.

Brown, yang membawa watak seorang budak perempuan dengan kuasa istimewa yang cuba membantu untuk menyelamatkan Will, pernah bersuara pada masa lalu menentang pembulian dan pada tahun lepas memadamkan akaunnya dalam Twitter berikutan komen-komen yang penuh dengan kebencian.

Pada 2016, di usia 12 tahun, dia sama-sama menjadi hos bagi sambutan ulang tahun UNICEF yang ke-70 di New York, dan menemu-bual David Beckham di atas pentas.

Filem UNICEF itu menunjukkannya meminta sokongan selebriti lain termasuk penyanyi Dua Lipa dan dua pelakon, Liam Neeson dan Orlando Bloom, menerusi telefon dengan kata-kata “code blue”.

Lilly Singh, YouTuber yang menyatakan pada minggu ini bahawa dia akan berehat daripada platform video itu, dipamerkan membuat minuman ‘Blunicorn’, manakala Lipa menggantikan perkataan ‘red’ dengan ‘blue’ dalam lagunya ‘Be The One’.

Undang-undang Hak Kanak-kanak sudah disahkan oleh 196 buah negara dan memuatkan hak kanak-kanak untuk “mengenali dan dijaga oleh ibu bapanya” serta hak untuk memiliki nama dan kerakyatan.

UNICEF menyeru kepada orang ramai untuk menandatangani satu petisyen dalam talian yang meminta pemimpin untuk memberikan komitmen kepada usaha bagi menunaikan hak setiap kanak-kanak, dan memakai sesuatu yang berwarna biru pada Hari Kanak-kanak Sedunia. — Thomson Reuters Foundation

Advertisement