Anda di sini

Mencungkil atlet-atlet baharu

Advertisement
 Gimnas bersama Ahmad Jumry (dua kanan), Hairani (tiga kanan), Helena (empat kiri) dan guru sekolah.
CUNGKIL BAKAT: Gimnas bersama Ahmad Jumry (dua kanan), Hairani (tiga kanan), Helena (empat kiri) dan guru sekolah.

KUCHING: Kira-kira 300 pelajar, guru-guru dan ibu bapa menyertai jerayawara Gimnastik Berirama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) diadakan di SK Jalan Ong Tiang Swee di sini pada Khamis lalu.

Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan SSC, Ahmad Rodzli Hashim berkata jerayawara itu bertujuan mempromosi selain mencungkil minat ibu bapa dan pelajar khususnya terhadap sukan tersebut.

“Ini merupakan salah satu projek pembangunan sukan kita yang memfokuskan kepada penubuhan pusat di sekolah untuk mengumpul lebih ramai gimnas berbakat.

“Kita juga menggunakannya untuk mencari atlet-atlet baharu untuk dilatih bagi menghadapi SUKMA 2020 dan 2022,” katanya.

Ahmad berkata, SSC juga akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Gimnastik Amatur Sarawak (SAGYMA), sekolah dan Jabatan Pendidikan Sarawak melahirkan lebih ramai gimnas berkaliber untuk mewakili Sarawak pada kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Kita memilih SK Jalan Ong Tiang Swee kerana sekolah ini mempunyai dewan terbuka yang cukup sesuai untuk menjalani latihan.

“Tambahan salah seorang daripada gimnas SUKMA (artistik), Nur Sofia Idayah Abdullah merupakan bekas pelajar sekolah ini,” katanya sambil menambah SSC turut bercadang menubuhkan dua atau tiga lagi pusat di Kuching, Sibu dan Miri.

Untuk rekod, Sofia adalah pemenang pingat emas pada SUKMA 2016 di Sarawak.

“Kita memfokuskan kepada pembangunan sukan dan turut bercadang untuk menubuhkan pusat pembangunan sama untuk gimnastik artistik dan sukan lain seluruh negeri.

“Selain itu, kita juga akan mendapatkan lebih ramai jurulatih dan mengadakan kursus kejurulatihan kepada guru dan bekas atlet-atlet SUKMA,” jelas beliau.

Gimnas dari SAGYMA ialah Aleana Lao, Toh Xuan Yong, Scarlett Yuki Chen (atlet SUKMA), Amber Wang dan Rachel Wang sempat menunjukkan demonstrasi pelbagai disiplin gimrama seperti gelung, bola, reben dan belantan.

Hadir sama Presiden SAGYMA Helena Christine Wee, Ketua Unit Pembangunan Sukan SSC Ahmad Jumry Kassim mewakili Ahmad dan Penolong Kanan Kokurikulum SK Jalan Ong Tiang Swee, Hairani Hamden.

  • oleh
  • Advertisement