Anda di sini

Klinik Bola Sepak Bersama Jalil Ramli perlu diperluas

Advertisement
 Peserta bersama tetamu selepas menamatkan Klinik Bola Sepak Bersama Abdul Jalil Ramli di Sibuti semalam.
ILMU BERGUNA: Peserta bersama tetamu selepas menamatkan Klinik Bola Sepak Bersama Abdul Jalil Ramli di Sibuti semalam.

MIRI: Klinik Bola Sepak Bersama Jalil Ramli perlu diperluaskan bagi membangunkan sukan bola sepak lebih fokus dan terarah kepada pemain-pemain muda peringkat sekolah rendah.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni memuji inisiatif penganjuran klinik tersebut pada asasnya dapat membentuk dan mengilap pemain-pemain muda.

“Kita berharap program ini diteruskan dan diperluas di kawasan lain kerana boleh menjadi medium mencari, mengasah dan mengilap bakat pemain bola sepak usia muda,” katanya pada penutupan Klinik Bola Sepak Bersama Jalil Ramli di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kita, Niah semalam.

Lukanisman berkata, memandangkan kawasan Sibuti amat luas maka banyak sekolah rendah perlu diberi pendedahan menerusi klinik tersebut.

“Sebagai contoh di Lambir terdapat sekolah-sekolah rendah  mempunyai pemain muda berbakat dan kita berharap bakat-bakat mereka dapat dikesan menerusi klinik tersebut,” jelasnya.

Lukanisman juga terus menyokong klinik tersebut dan berharap kertas kerja program pembangunan bola sepak Sibuti difailkan untuk projek seterusnya.

Klinik itu anjuran bersama Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Subis dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (Miri FA).

Ia disertai kira-kira 180 peserta membabitkan sebanyak 22 buah sekolah di Zon Niah dan Suai di bawah Parlimen Sibuti.

Klinik memfokuskan kepada murid-murid sekolah rendah dilihat sebagai titik permulaan pembangunan bola sepak bagi tempoh jangka panjang.

Klinik fasa kedua bermula dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu berjalan lancar dan murid-murid amat teruja menimba ilmu bersama jurulatih legenda Sarawak, Abdul Jalil Ramli.

Advertisement