Anda di sini

Kerajaan Sarawak tidak mahu abai sekolah daif: Abg Johari

Advertisement
 Manyin menyampaikan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Thomas untuk dana projek Bina Semula SMK St Teresa Kuching pada majlis ‘Lets Rebuild St Teresa’ Grand Dinner 2018 di Kuching malam kelmarin. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
SOKONGAN BERTERUSAN: Manyin menyampaikan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Thomas untuk dana projek Bina Semula SMK St Teresa Kuching pada majlis ‘Lets Rebuild St Teresa’ Grand Dinner 2018 di Kuching malam kelmarin. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM82 juta untuk membaik pulih sekolah-sekolah yang dikategorikan daif termasuk penyediaan air bersih dan elektrik di Sarawak pada tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan mengambil inisiatif membaiki sekolah-sekolah itu dengan menggunakan dana Sarawak, namun ia tidak bermakna kerajaan persekutuan harus melepaskan tanggungjawabnya untuk memastikan kemudahan pendidikan di negeri ini dalam keadaan baik.

“Pendidikan di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan Putrajaya tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya menyediakan kemudahan berkualiti kepada pelajar dan guru di Sarawak,” tegasnya pada majlis ‘Lets Rebuild St Teresa’ Grand Dinner 2018 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Teks ucapan beliau dibaca oleh wakilnya, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Abang Johari berkata, Belanjawan 2019 kerajaan persekutuan yang dibentangkan baru-baru ini tidak menyatakan secara spesifik apa-apa peruntukan kepada pembinaan dan baik pulih 1,020 sekolah daif di seluruh Sarawak.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak tidak mahu dituduh mengabaikan sekolah-sekolah di Sarawak khasnya di kawasan luar bandar.

“Maka itu, saya telah memutuskan kerajaan negeri akan membelanjakan RM82 juta tahun depan untuk meneruskan program menjadikan sekolah-sekolah ini lebih baik termasuk penyediaan air bersih dan elektrik untuk manfaat para pelajar dan guru meskipun pendidikan di bawah bidang kuasa persekutuan,” katanya.

Abang Johari berkata sekarang adalah masa untuk rakyat Sarawak menentukan nasib mereka sendiri kerana sepanjang 55 tahun lalu, orang lain yang mencorak masa depan Sarawak sebab negeri ini mempercayai mereka.

“Oleh itu, bermula dari sekarang, ‘anak Sarawak’ khasnya para pelajar mesti belajar bersungguh-sungguh dan bekerja keras memperoleh ilmu pengetahuan setinggi mungkin agar anda dapat memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan Sarawak.

“Kita mesti membantu diri sendiri dan berhenti bergantung kepada orang lain sepanjang masa untuk membantu kita,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St Teresa merangkap pengerusi penganjur Let’s Rebuild St Teresa Grand Dinner Thomas William Suip, Archbishop Kuching Reverend  Simon Poh Pengerusi Lembaga Pengurusan SMK dan SK St Teresa Kuching Thomas Huo Kok Sen dan Pengetua SMK St Teresa Mary John.

  • oleh
  • Advertisement