Anda di sini

Kekalahan pertama Perancis sejak memenangi Piala Dunia 2018

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Negara-Negara di antara Belanda dan Perancis di Stadium Rotterdam di Belanda. — Gambar AFP
AKSI SEBENAR: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Negara-Negara di antara Belanda dan Perancis di Stadium Rotterdam di Belanda. — Gambar AFP

ROTTERDAM:  Belanda mengintai peringkat separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL) selepas menewaskan Perancis 2-0 kelmarin untuk memberikan kekalahan pertama kepada pasukan Didier Deschamps sejak memenangi Piala Dunia.

Georginio Wijnaldum menyumbat gol sejurus sebelum waktu rehat dan Memphis Depay menyempurnakan tendangan penalti dalam masa tambahan untuk mencatatkan kemenangan di Rotterdam bagi pasukan Ronald Koeman yang bermakna Belanda memerlukan hanya satu mata sahaja dalam perlawanan menentang Jerman, yang sudah turun ke liga bawah, esok (Isnin) untuk memintas Perancis dan mara ke peringkat separuh akhir.

Belanda berada satu mata di belakang pendahulu Perancis, yang hanya memerlukan keputusan seri sahaja kelmarin untuk layak ke peringkat kalah mati dalam perlawanan kumpulan terakhir mereka tetapi gagal.  

“Saya tidak menjangkakan permainan yang sempurna daripada pasukan kami tetapi ia sebenarnya sempurna. Kami sangat, sangat bagus,” kata Koeman.

“Saya terkejut dengan barisan pemain Perancis dan cara mereka bermain, tetapi permainan kami adalah sempurna. Kami mendominasi perlawanan selama 90 minit.”

Wijnaldum menjaringkan gol pada pertengahan perlawanan yang didominasi pasukan tuan rumah, yang sudah bangkit semula setelah mereka gagal untuk layak ke Piala Dunia.

Mereka mendominasi juara dunia yang bermain hambar dari mula lagi dan hanya dinafikan oleh kemenangan yang lebih besar oleh prestasi cemerlang penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.

“Kemenangan ini menunjukkan semangat pasukan, kualiti pemain yang kita miliki,” kata Depay.

“Ia menunjukkan kita ada masa depan yang cerah, kita perlu terus bermain seperti ini. Ini baharu permulaan.”

Pemain Deschamps nyaris menjaringkan gol pada minit ke-10 menerusi tandukan lemah Antoine Griezmann, yang ternyata longlai, sama seperti Kylian Mbappe.

“Satu pasukan di luar sana memiliki keinginan yang tinggi tetapi kami tidak ada cukup keinginan,” kata Deschamps.

“Jurang yang jelas wujud di antara kedua-dua pasukan dan mereka sewajarnya menang. Kami tidak memberikan cabaran dan tidak menunjukkan kesungguhan yang secukupnya.”

Sementara itu Belanda menyerang gawang Lloris dari mula lagi, dengan Wijnaldum yang memaksa penjaga gol Perancis itu untuk menyelamatkan cubaan pertama selepas hanya seminit sahaja setelah sepak mula ekoran larian yang mengagumkan oleh Depay yang bermain cemerlang.

Perlawanan pasti sudah lama berakhir sebelum wisel penamat jika tidak kerana Lloris, penjaga gol Tottenham yang terbabit dalam pertarungan yang hampir peribadi dengan barisan tiga penyerang bertenaga Belanda yang terdiri daripada Depay, Ryan Babel dan Steven Bergwijn.

“Kami bermain pada potensi kami yang minimum dan menanggung akibatnya. Jaringan hampir jauh lebih besar bagi Belanda,” kata Lloris, yang ternyata pemain terbaik Perancis.

“Kami perlu mempersoalkan diri sendiri selepas ini dan berharap Jerman menewaskan mereka Isnin ini.”

Depay khususnya cemerlang dan penyerang Lyon itu dinafikan tiga lagi dalam masa tiga minit pada babak kedua oleh Lloris untuk menghalang Belanda daripada menambah jaringan.  

Mula-mula Lloris menolak keluar tendangan percuma Depay yang kencang pada minit ke-73, dan dua minit kemudian pemain Spurs itu menyelamatkan barisan pertahanan yang diperdaya dengan tindakan yang pintar untuk menyelamatan cubaan penyerang itu dalam masa beberapa saat.

Perancis akhirnya mempamerkan aksi tidak lama kemudian, tetapi tidak menawarkan apa-apa dalam serangan, dan dengan perlawanan yang memasuki masa kecederaan, Lloris sekali lagi menyelamatkan maruah pasukannya dengan aksi cemerlang untuk menyelamatkan gawang daripada rembatan jarak jauh Frenkie de Jong selepas satu serangan pantas.

Bagaimanapun de Jung, yang dipilih oleh Deschamps pada Khamis lepas sebagai pemain untuk diperhatikan bagi Belanda, membantu pasukannya mengutip mata penuh apabila dia dijatuhkan di dalam kawasan penalti oleh Moussa Sissoko beberapa saat sebelum perlawanan tamat.

Depay tampil dan melengkapkan persembahan berpasukan dan indvidu yang cemerlang dengan melakukan tendangan penalti ‘panenka’ di atas Lloris, sekali gus mengumumkan kepulangan Belanda ke pentas besar. — AFP

Advertisement