Anda di sini

Kakitangan BDA maut, rempuh kereta terbabas

Advertisement
Kakitangan BDA (gambar kecil) maut di tempat kejadian dalam kemalangan awal pagi tadi.

BINTULU: Seorang kakitangan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) maut apabila motosikal ditunggang merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabas melanggar pokok di Jalan Tanjung Kidurung, sekitar pukul 2.45 pagi tadi. 

Mangsa dikenali sebagai Daud Inyok, 54, yang beralamat Rancangan Perumahan Rakyat Tanjung Kidurong, disahkan meninggal  dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Superintenden Alexson Naga Chabu berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila MPV dipandu penjawat awam, 28 yang bertindak memotong sebuah kenderaan dilanggar oleh sebuah kereta jenis kompak dipandu oleh pelajar, 23. 

"Kesan dari perlanggaran tersebut, kereta MPV berpusing ke sebelah kiri jalan dan melanggar pokok di kiri jalan.

"Pada masa sama, sebuah motosikal bergerak lurus menuju ke pusat bandar yang berada di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu melanggar MPV berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Difahamkan, impak dari rempuhan itu mengakibatkan mangsa bersama motosikal yang ditunggangnya terpelanting ke dalam parit. 

Manakala, pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat. 

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 
 

  • oleh
  • Advertisement