Anda di sini

Jin Wei makin hampir raih gelaran juara remaja dunia kedua

Advertisement
 
Jin Wei akan bertemu pemain Denmark, Line Christophersen pada aksi final pada Ahad (Isnin di Malaysia). - Gambar fail AFP

KUALA LUMPUR: Juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei hanya selangkah sahaja  lagi untuk meraih gelaran juara remaja dunia yang kedua apabila mara ke final Kejohanan Badminton Juara  Dunia BWF 2018 di Markham, Kanada pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Pemain pilihan ketiga, Jin Wei mempamerkan aksi bertenaga dan mengejutkan pilihan utama, Wang Zhiyi dari China dengan kemenangan 21-9 dan 21-13 pada perlawanan separuh akhir perseorangan wanita selama 38 minit di Markham Pan Am Centre, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF)  www.bwfbadminton.com.  

Ini merupakan kemenangan berturut-turut Jin Wei menentang pemain China itu dengan mengetepikan pemain sama meraih pingat emas bersejarah dalam Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina bulan lepas.

Pemain berusia 18 tahun itu akan bertemu pemain Denmark, Line Christophersen pada aksi final pada Ahad (Isnin di Malaysia) selepas pemain pilihan ke-13 itu meraih 21-18 dan 23-21 menewaskan pemain  pilihan keempat, Wei Yaxin dari China.

Pasangan beregu wanita remaja yang juga pilihan ketiga, Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei turut menempah tempat di final selepas menewaskan pilihan kedua Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto dari Indonesia; 21-19 dan 21-19 dalam straight set pada separuh akhir.

Tan-Toh bagaimanapun bakal berhadapan tugas berat menentang pemain pilihan utama, Liu Xuanxuan-Xia Yuting dalam final selepas pasangan dari China itu mengalahkan pilihan keempat Agatha Imanuela-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia; 21-18 dan 21-13 dalam aksi separuh akhir. - Bernama 

Advertisement