Anda di sini

Isu dadah sukar diselesaikan, lebih kompleks pada masa hadapan 

Advertisement
 

BANGKOK: Bagi sindiket-sindiket dadah yang tumpas di tangan pihak berkuasa,  akan muncul sindiket baharu untuk mengambilalih dan mengaut keuntungan daripada  "perniagaan (dadah)" yang amat lumayan itu.

Bercakap kepada Bernama di sini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohmad Salleh (gambar) berterus-terang apabila menyatakan isu mengenai ancaman dadah adalah sukar dan bukanlah sesuatu "yang boleh diselesaikan."

"This is an ongoing business (drug) (Ia perniagaan yang berterusan (dadah). Isu dadah ini bukanlah isu yang boleh diselesaikan. Ia hanya akan menjadi lebih complicated in the future (sukar pada masa hadapan)," katanya kepada agensi berita nasional itu ketika ditemui di ibu kota Thailand baharu-baharu ini.   

Beliau berada di Bangkok untuk menyertai mesyuarat tahunan "5th Departmental Review of the Joint Thailand-Malaysia Working  Committee on Criminal Activities" antara Polis Diraja Malaysia dan Polis Diraja Thailand.

Delegasi PDRM ke mesyuarat itu diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Menurut Mohmad, anggota sindiket dadah baharu yang akan mengambilalih operasi perniagaan sindiket  yang ditumpaskan oleh pihak berkuasa, terdiri daripada anggota sindiket lama yang masih belum ditahan.

"Sindiket ini come and go (datang dan pergi). Apabila kita smash (bantai) satu sindiket,  sindiket lain akan timbul kerana business (perniagaan) dadah amat lucrative (lumayan)," katanya.

 Beliau juga berkata, kebiasaannya sindiket dadah ini adalah sebahagian daripada rangkaian  jenayah  rentas sempadan yang meliputi kegiatan haram lain seperti pemerdagangan manusia dan seumpama.

Bukit Aman, menurutnya, menjalin hubungan dan kerjasama yang baik dengan agensi anti-narkotik Thailand seperti Narcotics Suppression Bureau (NSB) dan Office of Narcotics Control Board (ONCB).

Kerjasama dengan kedua-dua agensi negara jiran itu amat penting kerana sebahagian besar dadah yang diseludup masuk ke Malaysia berasal dari kawasan-kawasan "di utara Thailand," katanya.

Beliau tidak menyatakan dengan jelas lokasi kawasan di utara Thailand itu tetapi ia dipercayai merujuk kepada "Segitiga Emas", sebuah kawasan pengeluaran dadah utama dunia yang merangkumi sempadan Thailand, Myanmar dan Laos.

Agensi antarabangsa mendakwa wilayah-wilayah khas di Myanmar dijadikan pusat pengeluaran  dadah oleh sindiket yang dikuasai oleh kumpulan-kumpulan bersenjata.

Daripada "Segitiga Emas", sindiket-sindiket dadah ini menurut Mohmad menjadikan Thailand dan Malaysia sebagai transit dalam memastikan dadah mereka sampai ke pasaran-pasaran seperti Taiwan, Korea, Jepun, Australia, New Zealand, Filipina, Indonesia dan Singapura.

"Mungkin kedudukan kita (Malaysia) yang begitu strategik di ASEAN serta 'well-connected' dengan  negara Asia Pasifik, Malaysia dijadikan transit (oleh sindiket dadah)," katanya sambil menjelaskan, Malaysia hanyalah negara transit dan bukan negara pengeluar dadah.

Menurutnya cabaran membanteras ancaman dadah menjadi lebih rumit dengan kemunculan dadah-dadah jenis "New Psychoactive Substances" (NPS),  yang meninggalkan kesan lebih berbahaya dan dahsyat kepada penggunanya berbanding dadah sintetik.

Dadah NPS ini dihasilkan dengan mencampurkan beberapa bahan kimia," katanya dan menambah, ancaman oleh dadah NPS ini berlaku di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali. 

Beliau berkata, evolusi daripada satu jenis dadah kepada jenis dadah yang lain berlaku amat pantas dan ini meningkatkan lagi cabaran terhadap pihak berkuasa dalam membanteras ancaman dadah.

Menurut Pejabat Dadah dan Jenayah Bangsa-bangsa Bersatu (UNODC), kadar pengembangan NPS adalah luar biasa, hingga membawa risiko yang signifikan kepada kesihatan orang ramai dan cabaran kepada dasar dadah.

Menurut NPS, agensi berkenaan dikenali dalam pasaran dengan gelaran seperti “legal highs”, “bath salts” dan “research chemicals”. - Bernama 

Advertisement