Anda di sini

Golongan beresiko diminta tampil buat saringan HIV

Advertisement
SALSAGAP memotong reben sebagai simbolik perasmian majlis.
SALSAGAP memotong reben sebagai simbolik perasmian majlis.

LAHAD DATU: Masyarakat di daerah ini terutama golongan beresiko diseru tampil membuat saringan HIV tanpa rekod di fasiliti kesihatan yang berhampiran.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal berkata selaras dengan tema Sambutan Hari Aids Sedunia 'Ketahui status, dapatkan rawatan' kerajaan terus komited mengatasi penularan Aids terutama ke arah sasaran mengakhiri penyakit berjangkit itu menjelang tahun 2030.

"Pihak kerajaan sememangnya memberikan sepenuh komitmen dan sokongan dalam usaha untuk memastikan langkah-langkah pencegahan, dilaksanakan meliputi seluruh lapisan masyarakat dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti skop pengesanan kes, pencegahan jangkitan, rawatan dan sokongan.

"Pada masa yang sama disediakan saringan meliputi ujian saringan pra-perkahwinan, ujian HIV bagi ibu mengandung, ujian terhadap kontrak pesakit HIV dan lain-lain di semua fasiliti Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan secara percuma," katanya.

Dumi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pegawai Kemajuan Masyarakatnya Salsagap Pg Masdal ketika merasmikan Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Daerah Lahad Datu 2018, di Taman Bandaran, dekat sini pada Sabtu.

Beliau turut mengajak semua memainkan peranan dengan menggembleng tenaga dan sumber untuk mengekang penularan penyakit Aids.

"Ayuhlah kita sama-sama mencapai sasaran negara bebas virus HIV kerana kita semua mampu mencegah penularan penyakit ini," katanya.

Pegawai Kesihatan Kawasan Lahad Datu Dr Amirul Hisham Zainol ketika berucap berkata program itu diadakan untuk terus meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan HIV/Aids dan langkah-langkah pencegahan serta rawatan ke arah mengakhiri penyakit itu menjelang 2030.

"Epidemik HIV/Aids  global telah menunjukkan kemajuan yang amat baik sejak ia mula dikesan sejak 1986.

"Di Malaysia juga memperlihat senario menyerupai epidemik global dengan jumlah terkumpul kes melebihi 100,000 sejak tiga dekad lalu.

"Daripad jumlah tersebut 2/3 adalah dari kalangan pengguna dadah yang berkongsi jarum suntikan, 1/3 daripada hubungan seksual samada berlainan jenis, sesama jenis dan sebahagian kecil dari sebab-sebab lain seperti jangkitan ibu kepada anak," katanya.

Katanya lagi, bilangan kes baharu dan kematian menunjukkan penurunan disebabkan kejayaan promosi-promosi pencegahan dan rawatan yang disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi.

"Selain uji dan rawat, bagi menggalakkan komuniti beresiko tinggi jangkitan virus HIV dalam komuniti, kerajaan mengadakan program penukaran jarum suntikan.

"Selain itu turut diperkenalkan rawatan gantian Methadone khususnya untuk mengubah penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan kepada penggunaan pil," katanya.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu (Pembangunan) Juraimin Jadil, Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu (Pentadbiran), Pengerusi Panel Pelawat Klinik Kesihatan Lahad Datu Stanley Chin.

Pelbagai acara diadakan sempena majlis itu termasuk senamrobik, berjalan kaki 10,000 langkah, pameran dan sebagainya.

  • oleh
  • Advertisement