Anda di sini

Alijus undur diri Presiden Safa

Advertisement
ALIJUS SIPIL
ALIJUS SIPIL

KOTA KINABALU: "Tidak perlu tunggu sehingga tamat tempoh untuk saya melepaskan jawatan sekiranya saya gagal atau tidak dapat beri komitmen," kata Alijus Sipil.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perletakan jawatannya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) yang baru diamanahkan oleh perwakilan pada Kongres Tahunan Safa, Ogos lalu.

Alijus dikatakan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya pada awal minggu ini.

Sebab utama perletakan jawatannya adalah untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

"Saya mengambil peluang ini untuk  mengucapkan terima kasih atas mandat Ahli Gabungan Safa dalam Kongres Safa, Ogos lepas.

"Dalam ucapan saya sebalik dilantik Presiden ada saya nyatakan bahawa saya bersedia melepaskan jawatan pada bila-bila masa tanpa menunggu sehingga habis tempoh sekiranya saya gagal atau tidak dapat beri komitmen kepada Safa," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Kongres Safa pada Ogos lalu menyaksikan Alijus dipilih untuk jawatan itu bagi sesi 2018-2022 mengalahkan Datuk Yusoff Kassim dalam pertandingan satu lawan satu. Alijus mendapat 39 undi manakala Yusoff 13 undi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden 1, Hamid Apdal juga meletakkan jawatan selepas beberapa hari menang jawatan itu.

Belum dapat dipastikan sama ada perletakan jawatan penyandang dua jawatan utama Safa itu mendapat perkenan ahli gabungan tetapi perkembangan terkini berkenaan tentunya meletakkan Safa yang sedang dibelenggu masalah kewangan semakin goyah.

Kini hanya Datuk Rahman Zakaria penjawat tertinggi dalam Safa selaku Timbalan Presiden 2.

Apapun, Alijus percaya pentadbiran Safa masih boleh diteruskan barisan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang masih ada.

"Barisan AMT yang masih tinggal masih boleh melaksanakan dan meneruskan mentadbir Safa kerana mereka juga cukup berpengalaman dalam Safa , antaranya Dato’ Rahman Zakaria," kata Alijus.

  • oleh
  • Advertisement