Anda di sini

42 penumpang terbunuh, tong gas meletup dalam bas

Advertisement
 Bangkai bas penumpang yang rentung selepas ia terbakar kelihatan di Beitbridge, Zimbabwe dalam gambar serahan yang diterima kelmarin. — Gambar Reuters
TINGGAL RANGKA: Bangkai bas penumpang yang rentung selepas ia terbakar kelihatan di Beitbridge, Zimbabwe dalam gambar serahan yang diterima kelmarin. — Gambar Reuters

HARARE: Sekurang-kurangnya 42 penumpang maut, kata polis Zimbabwe kelmarin, selepas sebuah tong gas dipercayai meletup dalam sebuah bas, dengan gambar yang menunjukkan bangkai kenderaan itu yang rentung.

Perbadanan Penyiaran Zimbabwe menerbitkan gambar kenderaan yang musnah itu di lebuh raya antara sempadan Afrika Selatan dan kota kedua Bulawayo.

“Buat masa sekarang, kita tahu lebih 42 orang telah terkorban,” kata jurucakap polis Charity Charamba kepada AFP selepas nahas itu berlaku lewat Khamis lepas, dan menambah ramai daripada mereka yang mati “rentung sehingga tidak dapat dicam”.

Dia berkata pemandu yang terselamat dalam nahas itu “tiba-tiba menghidu bau yang aneh dalam bas” sekitar jam 11.00 malam, menghentikan bas di tepi jalan, memasang lampu dan bas terbakar.

Kebanyakan daripada 70 penumpang terperangkap dalam kebakaran yang berlaku.

Syarikat bas Brooklyn Buses menyebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media tempatan bahawa ia “sangat kesal, amat terkejut” dengan kehilangan begitu banyak nyawa.

“Sebuah tong gas yang diseludup oleh seorang penumpang disyaki meletup dalam kabin bagasi,” katanya.

“Selepas merasai sesuatu yang tidak kena, pemandu bas menghentikan bas untuk memeriksa dan apabila dia memasang lampu, letupan berlaku di dalam bas,” kata syarikat itu.

Syarikat bas itu memberikan jumlah kematian yang lebih rendah iaitu 31, dan menambah ramai mangsa lain mengalami “kecederaan serius”.

Polis sudah melancarkan siasatan, tambah Charamba.

Badan penyiaran awam ZBC berkata kira-kira 30 mangsa cedera menerima rawatan di hospital bandar Gwanda.

Kenderaan terbabit dalam perjalanan dari bandar kecil Zvishavane menuju ke bandar sempadan Afrika Selatan, Musina, ketika letupan itu berlaku.

Beberapa penumpang dilaporkan meloloskan diri menerusi tingkap.

Pada minggu lepas, 50 maut apabila dua bas berlanggar di jalan antara ibu negara Harare dan bandar timur Rusape.

“Saya sedih sekali apabila dimaklumkan tentang tragedi semalam, nahas besar kedua sejak beberapa minggu lalu,” kata Presiden Emmerson Mnangagwa dalam Twitter.

“Saya menggesa kepada semua rakan senegara untuk lebih berhati-hati di jalan raya, periksa keselamatan kenderaan anda, pandu perlahan, utamakan keselamatan.”

Kemalangan lalu lintas biasa berlaku di Zimbabwe, di mana jalan penuh dengan lubang kerana bertahun-tahun diabaikan dan kurang pembiayaan, dan standard pemanduan adalah amat rendah.

Pada Jun tahun lepas, 43 maut dalam satu nahas bas di utara negara, di lebuh raya menuju ke negara jiran, Zambia. — AFP

Advertisement