Anda di sini

Parah dihempap lori 10 tan

Advertisement
 Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori tersebut.
BERTUNGKUS-LUMUS: Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori tersebut.

KUCHING: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas dihempap lori 10 tan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Matang Malihah-Batu Kawa di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada kerosakan brek lori tersebut yang tumbang lalu menghempap lelaki berusia 46 tahun terbabit.

Menurutnya, kemalangan berlaku sekitar jam 11.30 pagi ketika lori tersebut yang membawa muatan tanah bergerak dari arah Sungai Moyan menuju ke Matang Jaya.

“Siasatan awal mendapati lori tersebut mengalami kerosakan brek dan ketika pemandunya cuba mengelak daripada melanggar kereta di hadapan, ia terbalik dan menghempap mangsa yang menunggang motosikal.

“Susulan kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badannya,” kata Alexson dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mangsa yang berasal dari Kampung Baru, Kota Samarahan berjaya dikeluarkan dari bawah bahagian hadapan lori tersebut dengan bantuan dari anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya.

“Bomba yang tiba di lokasi kejadian terus bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori tersebut menggunakan peralatan hidraulik dan seterusnya diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik di tempat kejadian.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata Alexson.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan mangsa masih dirawat di Unit Kecemasan HUS.

Manakala, pemandu sebuah kereta yang turut terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 24 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Taman Malihah, Matang di sini, lewat malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Nor Ikhmal Ahmad Yusuf semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal sebelum dipercayai terbabas lalu dia tercampak ke arah sebatang pokok.

Orang ramai yang melihat kejadian tersebut kemudian segera membantu mangsa yang kemudian dikejarkan ke HUS, namun disahkan meninggal dunia selepas itu.

Mayat mangsa kemudian dirujuk ke Unit Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat.

  • oleh
  • Advertisement