Anda di sini

Kes AMLA dan rasuah Najib akan disebut di Mahkamah Tinggi 27 Nov

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kes 21 pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kuasa berhubung  dana 1Malaysia Development Berhad yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak  akan disebut di Mahkamah Tinggi pada 27 November.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan tarikh itu semasa sebutan semula kes itu di hadapannya semalam.

Pada 31 Okt lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu  dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas tiada bantahan pihak pendakwaan yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Pada prosiding semalam, Sri Ram memberitahu bahawa sebanyak 20 peratus dokumen bagi pertuduhan pengubahan wang haram  telah diserahkan kepada pihak pembelaan manakala 15 peratus dokumen bagi kes rasuah yang merupakan ‘predicate charges’ masih belum diserahkan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika ditemui media selepas prosiding itu berkata sebanyak 23 jenis dokumen berkaitan kes pengubahan wang haram  termasuk pernyataan bank telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Sebanyak 367 dokumen berkaitan ‘predicate charges’ termasuk minit-minit mesyuarat 1MDB telah diserahkan kepada pembelaan,” katanya.

Semasa kes disebut, Sri Ram menoleh ke belakang untuk melihat tertuduh, bagaimanapun Najib yang berkot biru duduk di luar kandang tertuduh dan  Sri Ram sempat bertanyakan kepada Ahmad Akram mengapa tertuduh duduk di luar kandang tertuduh.

“Kenapa dia duduk di sana? Tanya Sri Ram dengan nada lembut dan kemudiannya kelihatan polis mahkamah meminta Najib masuk ke dalam kandang tertuduh.

Namun, Najib tidak mengendahkan arahan itu malah tetap duduk di luar kandang tertuduh sambil memegang telefon bimbitnya. Hakim Azura juga tidak menegur perbuatan Najib.

Ahmad Akram ketika ditemui media berkata, Najib yang merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) sepatutnya duduk di dalam kandang tertuduh dan bukannya duduk di luar kandang sebagai Orang Kena Saman (OKS).

Najib diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah

Pada 20 Sept lepas, Najib mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah apabila dia menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2,282,937,678.41 dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang yang sama. — Bernama

Advertisement