Anda di sini

KDNK Malaysia berkembang 4.4 peratus suku-3 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga 2018 dipacu oleh penggunaan swasta yang kukuh susulan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus semasa tempoh tersebut.

Bagi tempoh tiga suku pertama 2018, ekonomi berkembang 4.7 peratus dan berada di landasan untuk merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus bagi setahun penuh 2018, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Walaupun menghadapi cabaran global, beliau berkata, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan stabil pada suku ketiga 2018.

Ia didorong khususnya peningkatan perbelanjaan isi rumah yang berkembang 9.0 peratus terutama pada Julai dan Ogos serta pertumbuhan pekerjaan dan upah yang teguh di samping sentimen pengguna positif, katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan tersebut juga disokong oleh pelaburan swasta yang lebih tinggi iaitu meningkat 6.9 peratus dan kesan kejutan bekalan sekali yang berlarutan.

“Kejutan bekalan khusus komoditi yang berlarutan telah membawa kepada penurunan pengeluaran komoditi (dan eksport),” katanya semasa mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2018 di sini, semalam.

Noor Shamsiah berkata pertumbuhan pada suku kedua dan ketiga tahun ini mungkin lebih tinggi sebanyak 50 hingga 70 mata asas jika tiada kejutan bekalan dalam perlombongan dan pertanian.

Berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi berkembang 1.6 peratus lebih pantas daripada 0.3 peratus pada suku sebelum ini.

Eksport kasar menyederhana kepada 5.2 peratus berikutan pengembangan perlahan dalam eksport perkilangan bukan elektrik dan elektrik ketika eksport komoditi mengalami penurunan lebih kecil.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan telah menyokong pertumbuhan, manakala sektor perlombongan terus dipengaruhi oleh kejutan bekalan.

Sektor pertanian kekal lemah berikutan pemulihan yang berlanjutan daripada kekangan pengeluaran pada suku sebelumnya.

Pada suku tersebut, akaun semasa mencatatkan lebihan sebanyak RM3.8 bilion.

Dalam tempoh tiga suku pertama 2017, akaun semasa Malaysia mencatatkan lebihan terkumpul RM22.7 bilion atau 2.2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK).

“Pada masa akan datang, akaun semasa dijangka merekodkan lebihan, disokong oleh lebihan barangan dalam jumlah yang besar yang akan mengimbangi defisit akaun perkhidmatan dan pendapatan,” katanya, dengan menambah, bagi 2018 baki akaun semasa akan berada antara dua hingga tiga peratus daripada PNK.

Inflasi teras susut kepada 0.5 peratus pada suku ketiga 2018 berbanding 1.3 peratus pada suku kedua 2018, didorong terutamanya oleh kesan GST berkadar sifar peratus.

Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan mulai 1 Sept, 2018 telah memberi impak tersendiri terhadap inflasi pada suku tersebut.

Ringgit susut 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada suku ketiga, didorong terutamanya oleh pengukuhan mata wang negara maju itu serta aliran keluar pelaburan portfolio bukan pemastautin yang sederhana.

“Pengukuhan dolar AS telah dipacu oleh data dan unjuran ekonomi AS yang positif semasa tempoh suku tersebut. Ringgit dan mata wang serantau juga terjejas berikutan sentimen negatif disebabkan risiko penularan dari ekonomi pasaran pesat membangun yang mudah terjejas,” katanya.

 Hutang luaran kekal boleh diurus dengan risiko pusingan terhad memandangkan lebih daripada separuh dilaksanakan bagi jangka sederhana dan panjang, katanya.

“Kira-kira satu per tiga hutang luaran adalah dalam denominasi ringgit dan berdasarkan pegangan instrumen ringgit oleh bukan pemastautin,” katanya. — Bernama

Advertisement