Anda di sini

Hoki: Bina padang lengkap untuk kembalikan kegemilangan Sibu

Advertisement
Dr Annuar memukul bola ke gawang gol sebagai simbolik perasmian Pertandingan Hoki Lima Sebelah Tertutup Sibu 2018 Piala DUN Nangka di Padang Futsal Kampung Dato Baru yang bermula pagi tadi.
Dr Annuar memukul bola ke gawang gol sebagai simbolik perasmian Pertandingan Hoki Lima Sebelah Tertutup Sibu 2018 Piala DUN Nangka di Padang Futsal Kampung Dato Baru yang bermula pagi tadi.

SIBU: Sudah tiba masanya sebuah padang hoki astroturf dibina di Sibu untuk pembangunan sukan itu di wilayah tengah Sarawak.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa'ee berkata disebabkan tiada kemudahan yang lengkap, sukan hoki dilihat semakin suram di Sibu.

"Berpuluh-puluh tahun dahulu, Sibu terkenal dengan kehandalan pasukan hokinya.

"Tetapi, disebabkan tidak ada kelengkapan padang, maka minat terhadap hoki ini berkurangan...ini termasuk penganjuran perlawanan di Sibu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pertandingan Hoki Lima Sebelah Tertutup Sibu 2018 Piala DUN Nangka di Padang Futsal Kampung Dato Baru, hari ini.

Pertandingan itu merupakan anjuran Pusat Khidmat DUN Nangka dengan kerjasama Pemuda PBB Ranting Kampung Baharu dan Kelab Hoki Sejati.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu, terdapat tiga padang hoki yang lengkap diwujudkan di Kuching, namum kemudahan itu belum ada di wilayah tengah Sarawak.

Untuk rekod, padang hoki berkenaan adalah di SMK Paku di Bau, Stadium Hoki Petra Jaya dan Stadium Hoki Pandungan.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bagi menzahirkan hasrat pemain hoki di Sibu untuk mempunyai sebuah padang hoki yang lengkap.

"Ini suatu keperluan untuk pembangunan belia kita di Sibu amnya dan di Sarawak khususnya," ujarnya.

Sementara itu, sebanyak lapan pasukan hoki di sini memulakan saingan dalam pertandingan yang bermula hari ini dan perlawanan akhir dijadualkan hari esok (18 November).
 

  • oleh
  • Advertisement