Anda di sini

Genosid: Pemimpin Khmer Rouge didapati bersalah

Advertisement
 Gambar kombinasi Nuon Chea (atas) dan Khieu Samphan yang duduk di dalam bilik mahkamah Kamar Luar Biasa Mahkamah Kemboja (ECCC) sewaktu mahkamah membuat keputusan, di Phnom Penh, Kemboja semalam. — Gambar Reuters
DIDAPATI BERSALAH: Gambar kombinasi Nuon Chea (atas) dan Khieu Samphan yang duduk di dalam bilik mahkamah Kamar Luar Biasa Mahkamah Kemboja (ECCC) sewaktu mahkamah membuat keputusan, di Phnom Penh, Kemboja semalam. — Gambar Reuters

PHNOM PENH: Dua pe-mimpin tertinggi rejim Khmer Rouge di Kemboja didapati bersalah melakukan genosid semalam, dalam satu keputusan bersejarah hampir 40 tahun selepas kejatuhan rejim kejam yang menyebabkan kematian lebih sesuku populasinya.

Bekas ketua negara Khmer Rouge, Khieu Samphan, 87, dan ‘Saudara Nombor 2’ Nuon Chea, 92, merupakan dua anggota paling kanan yang masih hidup dalam kumpulan ultra-Maoist itu yang merampas kuasa di Kemboja pada 1975-1979.

Pemerintahan kejam yang diketuai ‘Saudara Nombor 1’ Pol Pot mengorbankan kira-kira dua juta warga Kemboja kerana kerja berlebihan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai tetapi keputusan semalam merupakan yang pertama mengiktiraf genosid.

Defendan sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2014 berhubung evakuasi paksaan yang ganas di Phnom Penh pada April 1975.

Namun penghakiman semalam di Kamar Luar Biasa Mahkamah Kemboja (ECCC) juga mendapati Nuon Chea bersalah bagi genosid terhadap kumpulan etnik minoriti Muslim Cham di Vietnam, selain beberapa jenayah lain.

“Kamar mendapati Nuon Chea memegang kuasa mutlak untuk membuat keputusan bersama Pol Pot dan oleh yang demikian mendapati Nuon Chea bertanggung-jawab sebagai seorang ketua bagi semua jenayah itu,” kata Hakim Nil Nonn.

“Ini termasuk jenayah genosid dengan membunuh anggota kumpulan agama dan etnik Cham.”

Khieu Samphan juga didapati bersalah melakukan genosid terhadap penduduk etnik Vietnam, tetapi bukan terhadap kaum Cham, katanya.

Kedua-dua defendan dijatuhi  hukuman “penjara seumur hidup”, dan menggabungkan kedua-dua hukuman itu menjadi satu penggal, kata Nil Nonn.

Ratusan manusia, termasuk puluhan Muslim Cham dan sami Buddha, dibawa dengan bas ke tribunal berkenaan, yang terletak di pinggir Phnom Penh untuk menghadiri perbicaraan.

Kejadian yang dirangkumi keputusan itu menjangkau tempoh empat tahun di bawah rejim Pol Pot, dan termasuk jenayah kemanusiaan yang meluas.

“Keputusan itu pada asasnya adalah penghakiman Nuremberg bagi ECCC dan ini membawa kepentingan yang sangat signifikan bagi Kemboja, keadilan jenayah antarabangsa, dan catatan sejarah,” kata David Scheffer, yang berkhidmat sebagai pakar khas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam perbica-raan Khmer Rouge dari 2012 sehingga bulan lepas.

Pejuang revolusi itu yang cuba mencipta semula Kemboja yang mempunyai majoriti penganut Buddha selari dengan visi mereka bagi utopia pertanian Marxis, cuba memansuhkan perbeza-an kelas dan agama dengan menggunakan kekerasan.

Perkahwinan paksaan, pencabulan, layanan buruk ke atas penganut Buddha, dan kekejaman yang dijalankan dalam penjara dan tempat kerja di seluruh negara jatuh di bawah senarai tuduhan tambahan – dan kedua-dua lelaki itu juga didapati bersalah atas tuduhan tersebut.

“Keputusan ini akan me-ngesahkan kemanusiaan mangsa secara kolektif dan memberi pengiktirafan kepada penderitaan yang dahsyat itu,” kata Youk Chhang, ketua Pusat Dokumentasi Kemboja – sebuah organi-sasi penyelidikan yang telah mengemukakan bukti kepada mahkamah.

Ia juga “memberi rasa pe-nutupan kepada lembaran yang dahsyat dalam sejarah Kemboja”.

Mahkamah hibrid itu, yang menggunakan undang-undang Kemboja dan undang-undang antarabangsa, diwujudkan dengan soko-ngan PBB pada 2006 untuk membicara pemimpin kanan Khmer Rouge.

Hanya tiga orang sahaja telah disabit kesalahan oleh mahkamah, yang memakan kos lebih AS$300 juta (RM1.2 bilion).

Bekas menteri luar Khmer Rouge, Ieng Sary, dan isterinya meninggal dunia tanpa menghadapi keadilan, manakala ‘Saudara Nombor 1’ Pol Pot meninggal dunia pada 1998.

Jumlah dakwaan terhadap Nuon Chea dan Khieu Samphan begitu banyak sekali sehinggakan mahkamah membahagikan perbicaraan kepada siri pendengaran yang lebih kecil pada 2011.

Ramai percaya keputusan semalam adalah yang ter-akhir bagi tribunal itu, yang dicemari dakwaan tentang campur tangan politik.

Perdana Menteri Hun Sen – seorang bekas anggota Khmer Rouge – berulang kali memberi amaran beliau tidak akan membenarkan siasatan diteruskan lagi, dengan menyebut tentang ancaman yang samar-samar kepada kestabilan. — AFP

Advertisement