Anda di sini

Tingkatkan kualiti P&P sekolah

Advertisement
CHRISTINA (tiga, kanan baris depan) menyampaikan sumbangan berupa replika cek bernilai RM100 ribu kepada Daniel pada majlis berkenaan, sambil disaksikan oleh Tony (tiga, kiri baris depan).
CHRISTINA (tiga, kanan baris depan) menyampaikan sumbangan berupa replika cek bernilai RM100 ribu kepada Daniel pada majlis berkenaan, sambil disaksikan oleh Tony (tiga, kiri baris depan).

KOTA KINABALU: Guru diingatkan supaya tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian cemerlang murid, sebaliknya terus berusaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, tanggapan ini perlu dikikis dalam minda setiap guru bagi memastikan kecemerlangan anak didik terus berkekalan.

"Pendidik perlu sedar, orang ramai terutama ibu bapa murid sentiasa mengukur pencapaian berdasarkan standard kualiti yang sudah dijanjikan.

" Untuk itu, pendidik jangan cepat berasa puas dengan pencapaian pada hari ini. Mereka mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Murid Cemerlang Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sacred Heart Kota Kinabalu bagi Tahun 2018, di sini pada Jumaat.

Christina yang juga merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, kerjasama antara warga sekolah dan ibu bapa perlu dijadikan sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.

Jelasnya, sokongan dan dorongan ibu bapa amat penting dalam menentukan kecemerlangan anak mereka dalam bidang akademik, kokurikulum dan sebagainya.

"Sebagai ibu bapa, kita juga perlu melakukan refleksi bermuhasabah, apakah cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru- guru dan pihak sekolah semata- mata.

"Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila murid- murid balik ke rumah," katanya.

Pada majlis ini, Christina turut menyampaikan replika cek sumbangan bernilai RM100 ribu kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SRK Sacret Heart Kota Kinabalu Daniel Tan.

Dana itu akan digunakan bagi pelaksanaan program pembangunan di sekolah berkenaan, termasuklah membina empat buah tandas untuk kegunaan warga sekolah.

Hadir sama ialah Guru Besar SRK Sacret Heart Kota Kinabalu Tony Ong Chin Wah.

  • oleh
  • Advertisement