Anda di sini

Pengurusan BTS minta maaf kepada peminat di Jepun

Advertisement
KUMPULAN BTS
KUMPULAN BTS

PENGURUSAN kumpulan K-pop popular BTS dari Korea Selatan telah memohon maaf dengan panjang lebar selepas kontroversi meletus dalam pasaran Jepun yang lumayan berhubung satu kemeja T yang dipakai oleh salah seorang vokalis yang menunjukkan letupan nuklear.

Dalam satu kenyataan 1,000 perkataan yang dikeluarkan dalam bahasa Korea, bahasa Inggeris dan bahasa Jepun, firma pengurusan Big Hit Entertainment berulang kali “memohon maaf dengan tulus ikhlas”.

Ia cuba menjauhkan kumpulan yang dianggotai oleh tujuh ahli itu dari kontroversi berkenaan, dengan menyatakan ia memikul tanggungjawab, dan seterusnya berkata: “Big Hot tidak menyokong sebarang aktiviti peperangan atau penggunaan senjata atom.”

Menjawab tuduhan selanjutnya bahawa bintang-bintang K-pop terbabit pernah menggunakan imej Nazi, syarikat itu berkata ia menentang semua organisasi “yang cenderung ke arah ekstremisme politik dan kepercayaan totalitarian termasuk Nazisme”.

Terkenal kerana rupa remaja mereka yang kacak, rambut yang serabai dan gerakan tarian yang direka dengan teliti, BTS telah menjadi salah satu eksport muzik paling terkenal dan paling bernilai dari Korea Selatan.

Mereka sudah menjual 380,000 tiket untuk jelajah mereka sekarang di Jepun, dan lagu-lagu single mereka masing-masing menjual ratusan ribu keping.

Namun rakyat Korea amat membenci penjajah Tokyo yang kejam pada 1910-45 di semenanjung Korea, yang berakhir dengan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua ekoran serangan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.

Isu sejarah masih membebani hubungan antara kedua-dua negara jiran itu, kedua-duanya demokrasi pasaran dan sekutu Amerika Syarikat (AS), walaupun mereka berkongsi kaitan kebudayaan dan perniagaan yang meluas.

Stesen televisyen Jepun TV Asahi pada minggu lepas membatalkan persembahan oleh BTS ekoran penularan satu gambar yang menunjukkan anggota kumpulan Jimin memakai baju yang menyinggung perasaan itu.

Baju itu memaparkan ungkapan ‘PATRIOTISM OUR HISTORY LIBERATION KOREA” yang diulang beberapa kali di sisi imej letupan bom atom dan satu lagi yang menunjukkan rakyat Korea meraikan kemerdekaan mereka.

Selepas kontroversi itu meruncing, imej muncul yang menunjukkan sebuah konsert pada tahun lepas di mana BTS memakai seragam dan mengibarkan bendera yang menurut pengkritik mengimbau simbol Nazi, selain gambar pada 2014 di mana ketua kumpulan RM memakai topi yang tertera loga ‘SS Death’s Head’.

SS memainkan peranan penting dalam pembunuhan enam juta orang Yahudi oleh Nazi sewaktu peristiwa Holocaust dan sebuah kumpulan hak asasi manusia Yahudi yang terkemuka menuduh kumpulan itu “mencemuh masa silam”.

“Ia tidak perlu dinyatakan bahawa kumpulan ini wajar memohon maaf kepada rakyat Jepun dan mangsa Nazisme,” kata Rabbi Abraham Cooper dari Pusat Simon Wiesenthal di Los Angeles.

“Mereka yang merancang dan mempromosikan karier kumpulan ini terlalu selesa dengan hinaan terhadap memori masa silam,” ujarnya.

“Hasilnya ialah generasi muda di Korea dan seluruh dunia lebih berkemungkinan untuk menganggap sikap prejudis dan tidak toleran sebagai ‘cool’ dan membantu memadamkan pengajaran daripada sejarah.”

- ‘Tidak ada sel otak’ -

Dalam kenyataannya, yang diterbitkan dalam Faccebook lewat Selasa lepas, Big Hit Entertainment berkata persembahan yang dimaksudkan adalah satu lagu oleh kumpulan veteran dari Korea Selatan, Seo Taiji, ‘Classroom Idea’, yang “mengimbangi kritikan sosial dengan pendidikan yang diseragamkan dengan keras”.

Pertunjukan itu bertujuan untuk mengkritik totalitarianisme dan “tiada kaitan sama sekali dengan Sosialisme Nasional”, tambahnya.

Namun ia “tidak berniat untuk menyebabkan kemarahan atau kesakitan” dan telah menghubungi persatuan mangsa bom atom di Jepun dan Korea serta Pusat Simon Wiesenthal untuk memberikan penjelasan dan memohon maaf, katanya.

Big Hit berkata ia gagal untuk memberikan “sokongan yang perlu dan berhati-hati kepada artis kami”, yang “sama sekali tidak bertanggungjawab bagi sebarang isu”.

BTS merupakan pembawa obor dalam fenomena K-pop dan mencipta sejarah pada awal tahun ini dengan menjadi kumpulan K-pop pertama yang menduduki tempat teratas dalam carta album AS, satu tanda bagi tarikan genre itu yang semakin berkembang pada peringkat global.

Peminat dan media Korea Selatan mempertahankan idola mereka dengan bersungguh-sungguh.

“Anda tidak ada sel otak,” tweet seorang peminat tentang tuduhan mengenai persembahan berkenaan. “Ia adalah satu lagu yang menentang sistem pendidikan di Korea.”

Dan dalam akhbar konservatif JoongAng Ilbo, Min Kyong-won menulis: “Jepun hanya cuba mencari kesalahan sahaja.”

Mahkamah tertinggi Korea Selatan pada bulan lepas mengarahkan sebuah syarikat keluli gergasi Jepun untuk membayar ganti rugi kepada mangsa program buruh paksaan pada zaman perang, dan Min berpendapat rangkaian Jepun “mahu menjadi BTS sebagai contoh kerana sentimen anti-Korea di Jepun”. — AFP

Advertisement