Anda di sini

Penganggur dipenjara 10 bulan lupus harta curi

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang penganggur tempatan dikenakan penjara selama sepuluh bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan melupuskan harta curi sebuah motosikal.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Arthur Miden, 31, selepas mengaku salah.

Tertuduh melupuskan motosikal milik seorang lelaki berusia 30 tahun, pada 1 November antara jam 5.30 petang hingga jam 7 pagi di hadapan sebuah kilang, Inanam di sini.

Atas kesalahan itu Arthur didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan polis pada 2 Julai berkenaan dengan motosikalnya yang diletakkan di hadapan kilang didapati hilang.

Bertindak berdasarkan maklumat pihak polis berjaya menangkap tertuduh pada 8 November di hadapan sebuah restoran di Inanam, di sini.

Setelah melakukan siasatan lanjut, tertuduh mengaku melupuskan motosikal terbabit yang diketahuinya sebagai harta curi.

Semasa rayuan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGK) mengatakan, tertuduh sudah menyesal dengan perbuatan salah yang dilakukannya dan memohon hukuman ringan dikenakan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang mempunyai empat anak menjalani tempoh pemenjaraan berkenaan bermula dari tarikh tangkap.

Sementara itu, Stephanie juga menetapkan sebutan semula kes pada 13 Disember terhadap tertuduh yang juga didakwa atas pertuduhan menggunakan dadah.

Keputusan itu dibuat sementara menunggu laporan kimia disediakan.

Untuk kesalahan terbabit, Arthur didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Insp Mohd Rasydan Jasni melakukan kedua-dua pendakwaan terbabit.

  • oleh
  • Advertisement