Anda di sini

Kes warga emas rompak stesen minyak dibicara 17-18 Januari

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Sesyen menetapkan 17 dan 18 Januari 2019 untuk perbicaraan kes seorang lelaki warga emas yang dituduh melakukan rompakan bersenjata ke atas sebuah stesen minyak serta mencederakan dua pekerja stesen berkenaan.

Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 11 Disember depan untuk pengurusan kes bagi tujuan serahan dokumen.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah.

Penetapan tarikh itu dibuat Hakim Steve Ritikos setelah mendengar permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Aftal Mariz.

Dalam permohonannya, Aftal memberitahu bahawa pihak pendakwaan telah menerima arahan daripada Pengarah Pendakwaan Sarawak supaya meneruskan perbicaraan terhadap tertuduh dan terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada tertuduh bersalah atau sebaliknya di akhir perbicaraan kelak.

Justeru, beliau memohon agar ditetapkan satu tarikh untuk perbicaraan tersebut.

Aji Undi, 57, dari Sungai Sigu, Bintulu telah didakwa mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah dituduh melakukan rompakan bersenjata dengan bersenjatakan sebilah parang dan merompak wang tunai RM3,000 serta mencederakan dua pekerja stesen berkenaan iaitu Nurul Balqis Hardi, 18, dan Robia William, 23.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.50 petang, 22 Julai lalu di sebuah stesen minyak di Desa Senadin.

Advertisement