
LAHAD DATU: Timbalan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, SAC Adnan Abdullah, 58, dilantik sebagai Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscim) yang baharu berkuatkuasa Isnin.
Adnan menggantikan SAC Datuk Hashim Justin yang bersara wajib pada hari ini setelah berkhidmat hampir 39 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.
Majlis Serah Terima Tugas Ketua Staf Perisikan itu diadakan di pejabat Esscom, di sini, pada Jumaat.
Majlis disaksikan Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Noor Alam Khan A. Wahid Khan.
Hazani ketika berucap menghargai jasa dan sumbang bakti Hashim yang telah banyak membantu dalam menjayakan semua operasi Esscom sebelum ini.
Menurutnya, Bahagian Perisikan di Esscom akan terus diperkasa dan dimantapkan dalam usaha untuk memerangi penjenayah-penjenayah rentas sempadan yang menjadikan pantai timur Sabah sebagai sasaran mereka khasnya terhadap krew-krew bot nelayan, tug bot dan para pelancong.
Katanya, dalam sebuah organisasi, perisikan adalah nadi utama pada operasi yang bakal dilaksanakan.
“Memang tidak saya nafikan tanpa perisikan yang mantap dan kukuh, kita tidak boleh melaksanakan apa-apa walaupun pasukan kita memiliki aset-aset yang canggih dan keanggotaan yang lengkap," katanya.
Justeru Hazani berharap agar Adnan dapat meneruskan aktiviti yang telah dirancang sebelum ini dan menjayakannya bersama pasukan risikan.
Pada perkembangan yang sama, Hazani turut menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Staf Bahagian Operasi Laut antara Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan dengan Laksamana (M) Anor Jaafar.
Turut hadir Timbalan Komander Esscom Brig. Jen. Datuk Badrul Hisham Mohamad, Ketua Staf Pusat Operasi Brig. Jen Datuk Md. Rahim Mohamad dan Ketua Staf Operasi Udara Brig. Jen. Ayub Khan.