Anda di sini

Samun warga emas, dua lelaki dicekup

Advertisement
 

SANDAKAN: Dua lelaki tempatan dicekup dipercayai terlibat dalam kes samun terhadap seorang lelaki warga emas berumur 67 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Cecily, di sini, petang Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek yang mengesahkan kejadian itu berkata kedua-dua suspek masing-masing berumur 40 dan 50 tahun ditahan berikutan penahanan sebuah kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek pada jam 1.30 petang Rabu di Dataran Piaza, Harbour Mall, Jalan Pryer.

Beliau berkata pada jam 6 petang Selasa, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian samun itu. Sejurus itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian.

"Pihak kita mendapati semasa kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan didatangi oleh dua orang suspek lelaki yang meminta mangsa membuka pintu bagi tujuan membuat banci pendaftaran.

"Mangsa yang tidak berasa was-was telah membuka pintu rumah lalu kedua-dua suspek masuk dan menuju ke bilik tidur mangsa dengan diikuti oleh mangsa.
"Secara tiba-tiba salah seorang daripada suspek telah memaut leher pengadu manakala rakannya menyelongkar bilik tidur pengadu dan mengambil wang tunai RM1,500 sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan," katanya sambil menambah, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdul Fuad berkata bertindak atas maklumat, pada petang Rabu, sepasukan polis dari JSJ IPD Sandakan telah menahan sebuah kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan telah merampas 31 barangan antaranya wang tunai RM250, tiga telefon bimbit, kad-kad gadaian emas, kad ATM, dompet, peralatan pecah rumah serta mata wang asing Vietnam.

Tambahnya, kenderaan yang dipandu kedua-dua suspek turut dirampas.

Katanya hasil semakan mendapati suspek pertama (berumur 40 tahun) mempunyai lima rekod kesalahan lampau dan ketika ditangkap suspek masih dalam tempoh pengawasan parol untuk kesalahan pada tahun 2016 mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat awam yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya kedua-dua penjenayah terbabit.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement