
TAWAU: Seorang pemandu lori yang memuat buah sawit dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan di Batu 19 Jalan Bukit Quoin, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata identiti pemandu dikenali sebagai Peter Umposon @Peter Umpason, 51, dan tinggal di Kg Sg Gasing Batu 15 Jalan Wakuba, di sini.
"Pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya sambil mengesahkan kemalangan disyaki berlaku apabila lori itu hilang kawalan sebelum tergelincir dari laluan utama.
Katanya siasatan awal menunjukkan lori yang membawa muatan buah sawit terbabit dipandu mangsa dari Matthew Chan Ket Chin Batu 21 Jalan Apas Cocos.
Menurutnya, mangsa dalam perjalanan menghala ke Sama Collecting di Jalan Apas Parit untuk menjual buah sawit, namun lori terbabit hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian.
"Lorinya tergelincir ke bahu jalan sebelah kiri sejauh 56.7 meter sebelum terbabas dan terjatuh, namun mengakibatkan mangsa tercampak dan tersepit di kerusi penumpang hadapan.
"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya," katanya.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Insp Norhafizah Hussin.