
KOTA KINABALU: Lesen syarikat pelancongan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal P Alian.
Beliau berkata, di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, terdapat sebanyak 820 lesen bagi syarikat pelancongan yang menjalankan aktiviti di Negeri Sabah.
"Dua puluh daripadanya merupakan syarikat milik penuh warga asing iaitu Korea sebanyak 15 syarikat, China (2), Jepun (1), Britain (1) dan Australia (1)," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (Upko-Paginatan).
Assaffal berkata, semua `tour' yang datang dari luar negara memang memerlukan seorang 'tour leader' yang bertindak sebagai wakil syarikat dan berfungsi untuk menyerahkan kumpulan pelancong yang dibawa pemandu pelancong berlesen di Sabah.
"Hal yang sama terpakai sekiranya syarikat pelancongan tempatan membawa pelancong melancong ke luar negara," katanya.
Beliau berkata, kementeriannya memang menyedari terdapat beberapa syarikat tempatan yang menjadi proksi kepada ejen pelancongan luar negara, khususnya dari China dan Korea.
"Dalam hubungan ini, kementerian saya sedang bekerjasama dengan pihak Persekutuan untuk menangani isu ini," katanya.