
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) mempunyai pelan jangka pendek dan sederhana dalam menangani serta memperbaiki semula sistem kumbahan yang telah dilaporkan rosak di seluruh Kota Kinabalu.
Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Abdul Muis Picho berkata, aset-aset pembetungan milik Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk 24 peratus daripada aset pembetungan yang telah diambilalih daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) masih berada dalam keadaan yang baik dan berfungsi.
Menjawab soalan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang), Muis berkata, JKR akan mengambil alih baki 76 peratus aset-aset pembetungan milik DBKK dan seterusnya akan mengenal pasti keadaan semua aset pembetungan itu dengan menyediakan inventori pembetungan yang lengkap seperti lakaran pelan yang terperinci di taman-taman perumahan dan kedai-kedai serta menjalankan 'conditional rating' dan penjadualan penyenggaraan yang sistematik sebelum tindakan jangka pendek dan jangka sederhana dapat diambil.
Katanya, untuk tempoh jangka pendek, JKR akan mengambil tindakan dengan membeli peralatan seperti lori tangki penyedut, pam mudah alih sementara, pam jet air kuasa tinggi dan lain-lain untuk mengurangkan kekerapan masalah limpahan kumbahan.
"Meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan kecurian dan vandalisme di kawasan aset pembetungan seperti pembinaan pagar 'anti-climb anti-theft, pagar letrik serta amaran awal elektronik yang menggunakan sistem 'Supervisory Control And Data Acquisition' (SCADA) dan bantuan Polis Diraja Malaysia untuk membantu mengawal aset-aset pembetungan.