Anda di sini

Kerajaan negeri ambil alih pelaksanaan konsesi elektrik, air

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berhasrat mengambil alih semula pelaksanaan konsesi elektrik dan air bagi menarik kehadiran syarikat pelaburan luar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan itu dicapai bagi mempertingkat keupayaan bekalan elektrik dan air, sekali gus memberi kuasa sepenuhnya kepada jabatan berkaitan dalam kerajaan.

"Saya sedar dan tahu bahawa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) banyak tanggungan dan masalah yang dihadapi.

"Untuk itu, kerajaan perlu ada landasan bagi memastikan kita dapat meningkatkan keupayaan tarik pelabur datang ke Sabah kerana komponen yang diperlukan pelabur bukan sahaja bekalan air, tetapi bekalan elektrik yang konsisten dan harga berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke -15, di sini pada Khamis.

Menurut Shafie, satu jawatankuasa khas sudah ditubuhkan bagi meneliti implikasi pengambilalihan konsesi elektrik yang akan dimuktamadkan tahun hadapan.

Selain itu katanya, kerajaan juga dalam proses menunggu kajian dan penelitian pihak peguam negeri untuk memperhalusi perjanjian konsesi air sebelum ini agar dapat dilaksanakan kerajaan.

"Ini kerana, tiada ertinya kerajaan melantik pihak swasta untuk melaksanakan konsesi ini namun masalah kekurangan bekalan tidak dapat diatasi.

"Hasil yang ada semuanya memang kita peroleh, selepas itu kita bayar kepada konsesi dan perjanjiannya sebelumnya tidak adil dan saksama," katanya.

Advertisement