
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bakal memperkenalkan kaedah pengurusan pelupusan sampah yang efisien.
Menterinya Datuk Jaujan Sambakong berkata sistem berkenaan mengambil kira eko-sistem agar keindahan bio-diversiti sentiasa terpelihara.
"Kementerian telahpun mengambil inisiatif untuk mengurusan isu sampah di negeri ini dengan berkesan. Setakat ini, kementerian sedang menilai beberapa syarikat yang menjalankan sistem pelupusan sampah.
"Sistem berkenaan tidak memerlukan tapak pelupusan sampah, sebaliknya menggunakan kaedah membakar sampah dan kemudiannya abu itu boleh digunakan sebagai baja ataupun dikitar semula.
"Kita akan perkenalkan sistem itu nanti dan akan dilaksanakan oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat," jelas beliau kepada media pada Khamis.
Tambah Jaujan, selain PBT, masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk mengatasi isu sampah dengan menanamkan sikap yang positif dan elakkan pencemaran alam sekitar.
Selain sampah seperti botol, plastik, kertas dan sebagainya, jenis sampah yang paling banyak di Sabah adalah sisa makanan yang menyebabkan bau busuk.
"Justeru, kita menyarankan penganjur sesuatu majlis ataupun pengusaha restoran agar membuat kajian terhadap sajian mereka.
"Daripada pemerhatian, kita dapati lebih banyak makanan dibuang dalam tong berbanding yang habis dimakan terutamanya daging.
"Isu sampah bukan tanggungjawab PBT semata-mata tetapi masyarakat juga perlu menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat agar menjelaskan cukai perkadaran yang tertunggak bagi membolehkan PBT menjalankan fungsinya dengan berkesan.