
KOTA KINABALU: Cadangan Bajet Alternatif berjumlah RM16.6 bilion yang dibentangkan oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Star-Tambunan) dianggap tidak praktikal.
Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, cadangan bajet itu tidak munasabah untuk dilaksanakan dan boleh membawa Sabah ke lembah kehancuran.

"Saya katakan demikian kerana sumber kewangan yang disebut dan disenaraikan beliau itu belum lagi ada kepastian untuk kita dapat mengutipnya.
"Bagi saya, cadangan Ahli Yang Berhormat berkenaan hanyalah angan-angan buat masa ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan.
Beliau berkata, dalam memastikan disiplin pengurusan kewangan yang tinggi, kerajaan menekankan perbelanjaan mengikut keupayaan untuk mengutip semua hasil di bawah hak kerajaan Sabah.
Menurutnya, membuat ramalan yang tidak realistik atau menetapkan sasaran hasil yang tinggi bukanlah pendekatan pragmatik dan sangat berisiko tinggi.
Shafie berkata, perkara itu boleh menjejas dan menggagalkan rancangan perbelanjaan kerajaan sekiranya sasaran yang tidak realistik berkenaan tidak tercapai dalam tahun dianggarkan.