Anda di sini

Tukang cat kereta ditemukan maut di bengkel

Advertisement
 

LABUAN: Seorang tukang cat kereta ditemukan meninggal dunia dalam perumahan pekerja di bengkel Jalan Kinabenua, berdekatan Kampung Sungai Keling di sini, jam 8.43 pagi Selasa.

Mangsa, Arveen Jubin, 28, seorang warga tempatan beralamat di Kampung Gumandang, Kudat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata mangsa ditemukan pemilik bengkel di dalam bilik mangsa sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring tanpa baju dan hanya memakai seluar pendek di atas tilam.

“Kita juga mengesan darah beku yang keluar dari hidung dan mulut dan tiada sebarang kesan kecederaan pada bahagian luar badan mangsa,” katanya.

Menurutnya mangsa sudah meninggal dunia kira-kira 36 jam berdasarkan keadaan badan yang sudah kembang dan berwarna biru.

“Mangsa yang sudah bekerja selama setahun sebagai tukang cat kereta di bengkel terbabit dilihat kali terakhir pada 11 November lalu dan telefon bimbitnya berada di sisinya dalam keadaan bersambung dengan pengecas dan masih aktif.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan berkenaan kejadian,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement