Anda di sini

Muis tubuh Lembaga Pengurusan Wakaf Negeri Sabah

Advertisement
AIDI MOKHTAR
AIDI MOKHTAR

KOTA KINABALU: Lembaga Pengurusan Wakaf Negeri Sabah yang ditubuhkan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2019.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar berkata, penubuhan lembaga berkenaan mula diwartakan pada 15 November 2018.

Katanya, ia berperanan menggalakkan, mendorong, membantu, mengusahakan dan memajukan harta serta produk wakaf yang akan diurus tadbir Muis.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan kehendak undang-undang dan hukum syarak dalam mempertingkatkan sosio ekonomi umat Islam di negeri Sabah.

"Kementerian yakin penubuhan Lembaga Pengurusan Wakaf seiring dengan kelulusan dua rang undang-undang baharu iaitu Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) 2018 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sabah) 2018," katanya ketika membuat penggulungan.

Selain itu, pihaknya juga mencadangkan untuk membina enam buah Sekolah Agama Negeri (SAN) di enam daerah setiap bahagian di negeri ini.

Beliau berharap Muis dapat melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam yang akan menyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian kaum di negeri ini pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Aidi berkata kementeriannya akan memperkemaskan pengurusan dan pentadbiran setiap jabatan dan agensi yang dipertanggungjawabkan kepada pihaknya.

Katanya, semua jabatan dan agensi di bawah kementerian akan dibuat penyesuaian dari segi operasi supaya menepati kehendak dan aspirasi kerajaan negeri yang baharu.

Advertisement