Anda di sini

LIGS rancang bangun program Tanam Semula Berkelompok

Advertisement
JUNZ WONG
JUNZ WONG

KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) merancang untuk membangunkan kawasan baharu melalui program Tanam Baru dan Tanam Semula Berkelompok seluas 5,016 hektar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, program berkenaan akan melibatkan seramai 1,568 pekebun kecil dari 79 kampung.

"Untuk program latihan, seramai 3,000 pekebun kecil akan dilatih dalam tempoh ini," katanya dalam ucapan penggulungan.

Beliau berkata, LIGS akan meneruskan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) tahun hadapan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

Katanya, ia dilaksanakan dengan memberi bantuan penanaman buah-buahan, halia, lada hitam dan pemeliharaan lebah kelulut.

"LIGS juga dijangka akan mengeksport getah sebanyak 33,000 tan mengikut Standard Getah Malaysia (SMR) dan lateks pekat," katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan bahawa LIGS memonopoli pembelian getah di negeri ini yang dibangkitkan oleh Adun Kemabong Jamawi Jaafar.

Menurutnya, pihak swasta yang berlesen sahaja dibenarkan membeli getah di negeri ini.

"Pada tahun 2018, sebanyak 16 lesen membeli getah di premis dan 37 lesen bergerak membeli getah sudah dikeluarkan kepada pihak swasta di seluruh Sabah.

"Pelesen-pelesen swasta ini membeli getah mengikut harga yang ditetapkan oleh mereka sendiri," katanya.

Mengenai pembangunan tanah sawah di negeri ini, Junz berkata kerajaan negeri akan meneruskan program bantuan pemberian insentif seperti pembajakan sawah.

Katanya, sejumlah RM16.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi subsidi pembajakan sawah bermula tahun depan.

  • oleh
  • Advertisement