Anda di sini

Kementerian bantu pencari kerja

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi telah mengambil tindakan jangka pendek dan panjang untuk membantu para pencari kerja mendapat pekerjaan.

Menterinya Datuk Dr Yusof Yaacob (gambar) berkata, antara inisiatif itu ialah mengadakan sesi libat urus bersama Sabah Employers Association dan beberapa pihak industri untuk mendapat maklumat awal kekosongan jawatan yang boleh ditawarkan kepada pencari kerja, khususnya golongan siswazah.

"Di samping itu, kementerian saya juga telah menganjurkan Program Karnival Pekerjaan dan Pameran Latihan Kemahiran.

"Program ini bertujuan menyampaikan maklumat pekerjaan dan kerjaya kepada para pencari pekerjaan dan para belia yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab serentak soalan Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli), Datuk Bolkiah Haji Ismail (Warisan-Pitas) dan Chong Ket Kiun (DAP-Elopura).

Yusof berkata, kementeriannya juga telah mewujudkan Job Portal bagi mendaftar pencari pekerjaan dan majikan atau indusrtri yang memerlukan pekerja.

"Portal ini akan menudahkan kedua-dua pihak berinteraksi sekali gus mempercepatkan peluang pekerjaan.

"Portal ini sedang dikemaskini agar sistem dapat memadankan kelayakan pencari pekerjaan dengan peluang pekerjaan yang diiklankan oleh majikan," katanya.

Beliau berkata, kementerinnya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTKS) dalam pelbagai program sama ada dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran dan Inovasi ataupun JTKS sendiri.

"Contohnya, penganjuran Karnival Pekerjaan di Sipitang pada 22 Oktober 2018 lalu," katanya.

Beliau berkata, pengganguran berlaku kerana ketidaksepadanan pekerjaan dengan keperluan industri masa kini.

Selain itu katanya, terdapat juga peluang pekerjaan tetapi jauh di luar Sabah menyebabkan pencari pekerjaan tidak berminat untuk mendapatkan pekerjaan.

"Kekangan lain terhadap pencari pekerjaan ialah mereka kurang kemahiran termasuk kemahiran Bahasa Inggeris," katanya.

Yusof berkata, antara rancangan Kementerian Pelajaran dan Inovasi bagi menangani masalah itu ialah semua IPTA/IPTS di Sabah digalakkan menjalinkan kerjasama dengan industri agar dapat mengetahui permintaan dan penawaran pekerjaan di pasaran.

Kementeriannya akan mengadakan forum bersama IPTA/IPTS dan pihak industri pada 19 November 2018 berhubung perkara itu.

Katanya para pelajar yang dilatih termasuk melalui TVET bukan bertujuan menjadi pekerja atau makan gaji tetapi diberi ilmu keusahawanan agar mereka mampu berdikari dan merekacipta pekerjaan sendiri, menambah kecekapan dalam penggunaan Bahasa Inggeris dan kemahiran komunikasi.

Advertisement